
Mahathir, yang memperkenalkan dasar itu apabila menjadi perdana menteri pada 1981, berkata dasar itu telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur, menerusi hubungan yang rapat dengan Jepun.
“Empat dekad sudah berlalu sejak dasar itu diperkenalkan, dan saya percaya ia masih dasar yang bagus dan relevan buat Malaysia,” katanya ketika berucap pada pelancaran sebuah buku memperingati 40 tahun Dasar Pandang ke Timur.
Beliau menyebut dua contoh yang menunjukkan dasar itu memberikan manfaat kepada Malaysia, termasuk dalam menangani krisis kewangan Asia pada lewat 1990-an, dan latihan pelajar Malaysia di Jepun.
Pelajar-pelajar ini, katanya, kembali dari Jepun dengan disiplin dan etika kerja orang Jepun.
“Saya tahu saya mungkin dituduh terlebih memuji orang Jepun apabila berkata begini. Semestinya, orang Jepun bukanlah tiada kekurangan seperti manusia biasa, sebagaimana bangsa lain dari mana-mana di dunia ini.
“Tetapi etika kerja mereka, disiplin, kebanggaaan dan perasaan malu apabila gagal, menjadi antara nilai yang saya mahu rakyat Malaysia juga miliki apabila Dasar Pandang ke Timur dirangka dan diperkenalkan.
Sejak 1981, kira-kira 26,000 pelajar Malaysia telah melanjutkan pengajian di Jepun.