Pemilik kelab komedi mohon batal keputusan senarai hitam DBKL

Pemilik kelab komedi mohon batal keputusan senarai hitam DBKL

Pemilik bersama kelab komedi itu mendakwa keputusan terbabit tidak rasional dan menjejaskan kehidupan mereka.

Kelab Komedi Crackhouse disenaraihitam dan digantung lesen berikutan klip video seorang pelawak berdiri menanggalkan baju kurungnya hingga mendedahkan auratnya.
KUALA LUMPUR:
Pemilik Kelab Komedi Crackhouse telah memohon di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membatalkan lesen operasi mereka.

Dalam permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman, pemilik terbabit mahu mahkamah membatalkan keputusan DBKL, yang dibuat pada 30 Julai, untuk membatalkan lesen mereka serta mengetepikan keputusan yang menyenaraihitamkan mereka daripada mendaftarkan mana-mana perniagaan di bandar itu.

Pemilik bersama – Rizal van Geyzal dan Shankar R Santhiram – mendakwa keputusan itu tidak rasional dan menjejaskan kehidupan mereka.

Mereka juga telah memohon pengisytiharan bahawa keputusan itu tidak mengikut perlembagaan.

Mereka menamakan DBKL, Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias pada masa itu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan sebagai responden.

Kementerian Wilayah Persekutuan telah disusun semula bulan lepas dan kini menjadi jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Hakim Amarjeet Singh akan mendengar permohonan mereka untuk memulakan semakan kehakiman pada 26 Jan.

Penyenaraian hitam itu berikutan penggantungan lesen kelab komedi itu oleh DBKL Julai lalu berhubung klip video yang tular menunjukkan seorang pelawak berdiri menanggalkan baju kurungnya hingga mendedahkan aurat ketika membuat persembahan.

Wanita itu dan teman lelakinya kemudiannya ditahan dan didakwa.

Rizal turut ditahan apabila beberapa video lama persembahan komedi kontroversi muncul semula.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.