2 pengawal keselamatan didakwa bunuh lelaki

2 pengawal keselamatan didakwa bunuh lelaki

Ishardy Shamudin dan Muhammad Yazzid Mohd Yusoff didakwa memukul mangsa hingga mati dalam pergaduhan berhampiran sebuah kedai runcit 2 minggu lepas.

Ishardy Shamudin dan Muhammad Yazzid Mohd Yusoff didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. (Gambar Bernama)
BANTING:
Dua pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki dua minggu lepas.

Ishardy Shamudin, 41, dan Muhammad Yazzid Mohd Yusoff, 31, dituduh membunuh M Saravana Kumar, 24, di tepi Jalan Haji Wahab, Kampung Olak Lempit, di sini antara 10 hingga 11 malam pada 11 Jan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ermadieyani Ismadi manakala Ishardy diwakili peguam Nik Muhammer Hurrie Muhamad Sukri, sementara Muhammad Yazzid diwakili peguam R Sritheran.

Majistret Khairul Farhi Yusob menetapkan 27 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Jan lepas, Bernama melaporkan polis menahan dua pengawal keselamatan dipercayai memukul seorang lelaki hingga mati dalam pergaduhan berhampiran sebuah kedai runcit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.