
Punca itu dikesan dalam siasatan awal dijalankan pasukan penyiasatan dan pembinaan semula kemalangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) sehari selepas nahas pada Rabu lalu.
Ketua Unit Pengoperasian dan Pengurusan Data Kemalangan (CRADOM) Miros, Ahmad Noor Syukri Zainal Abidin, berkata cara pengendalian kenderaan oleh pemandu ketika menuruni jalan berbukit dan berselekoh dikenal pasti antara punca nahas.
Katanya, faktor lain menyumbang kepada nahas itu adalah infrastruktur jalan serta kenderaan digunakan.
“Hasil penemuan kami, terdapat beberapa faktor iaitu pemandu, khususnya membabitkan pengendalian kenderaan semasa menuruni jalan berbukit dan berselekoh.
“Selain itu, infrastruktur jalan terutama membabitkan ciri ‘speed mitigation’ (pengurangan kelajuan) dalam mengurangkan kebarangkalian nahas, serta kenderaan itu sendiri, yang merangkumi aspek kebolehlanggaran struktur,” katanya menurut Berita Harian.
Syukri berkata, Miros ketika ini masih dalam proses penyusunan maklumat serta menjalankan analisa awal ke atas segala bukti serta maklumat primer dan sekunder diperoleh berkaitan kemalangan itu.
Dalam kejadian 1.15 tengah hari Rabu lalu, lapan maut manakala enam cedera selepas van persiaran dinaiki mereka terbabas dan melanggar penghadang jalan ketika menuruni Genting Highlands.
Sementara itu, seorang lagi pakar kanan Miros, yang juga ketua Unit Keselamatan dan Mobiliti (VRUM), Zarir Hafiz Zulkipli, berkata pemandu van didapati hilang kawalan ke atas kenderaan itu ketika kenderaan menuruni bukit di selekoh dan menyebabkan kenderaan terbabas ke arah pembahagi tengah konkrit.
“Impak daripada perlanggaran itu mengakibatkan pemandu serta penumpang hadapan kenderaan tersepit akibat keremukan yang signifikan pada struktur kenderaan.
“Penumpang di bahagian belakang pula tercampak di dalam kenderaan menyebabkan berlakunya impak dalaman dan ke luar kenderaan (fully ejected),” katanya.