KPDN lancar portal papar lokasi restoran tawar Menu Rahmah

KPDN lancar portal papar lokasi restoran tawar Menu Rahmah

Portal khas itu juga memberi peluang kepada peniaga menyertai program yang dirangka mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan hidangan di bawah RM5 antara usaha kerajaan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan portal untuk memudahkan orang ramai mengenal pasti restoran atau gerai menawarkan harga makanan di bawah RM5 menerusi kempen Menu Rahmah.

Portal khas dibangunkan KPDN itu juga memberi peluang kepada peniaga menyertai program dirangka bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata portal menurahmah.kpdn.gov.my yang dilancarkan hari ini diharapkan dapat memudahkan orang ramai dan peniaga.

“Pembeli boleh membuat carian restoran yang menawarkan Menu Rahmah di lokasi masing-masing.

“Peniaga pun boleh daftar di portal berkenaan untuk sertai kempen itu,” katannya.

Kerajaan pada 31 Jan lalu memperkenalkan inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makanan pada harga RM5 dan ke bawah sebagai antara usaha mengurangkan kos sara hidup.

Menerusi inisiatif itu, rakyat boleh menikmati makanan tengahari dan malam masing-masing pada harga RM5 di hampir 15,000 premis makanan di seluruh negara.

Kerajaan juga bersifat terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu menggunakan jenama Rahmah asalkan ia bertujuan membantu rakyat dan pihak yang menyediakan Menu Rahmah dengan menawarkan harga serendah RM5 perlu memastikan kualiti makanan dijual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.