Penilaian impak projek PJD Link sedang dilaksana, kata menteri

Penilaian impak projek PJD Link sedang dilaksana, kata menteri

Dapatan penilaian impak sepatutnya dihantar pada 5 Apr 2023, setahun selepas perjanjian konsesi dimeterai.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi, berkata kandungan perjanjian konsesi diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemegang konsesi Lebuhraya PJ Dispersal Link (PJD Link) sedang berusaha memenuhi syarat ditetapkan dalam perjanjian konsesi, kata Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.

“Pemegang konsesi secara aktif melaksanakan penilaian impak alam sekitar (EIA), penilaian impak trafik (TIA), dan penilaian impak sosial (SIA) tanpa sebarang aktiviti fizikal di tapak,” kata Nanta dalam jawapan bertulis menjawab Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya), semalam.

Lee ingin mengetahui pendirian kerajaan berhubung projek PJD Link, perkembangan projek termasuk syarat terkandung dalam perjanjian konsesi antara pemaju dan kerajaan negeri.

“Berkenaan kandungan perjanjian konsesi, ia diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Ia perlu nyah klasifikasi sebelum kandungannya diumumkan kepada awam.

“Pada masa sama, kerajaan juga tertakluk kepada kerahsiaan perjanjian. Justeru, persetujuan melibatkan dua pihak itu diperlukan sebelum kandungannya diumumkan kepada awam,” kata Nanta.

Nanta berkata projek PJD Link bertujuan untuk menyurai lalu lintas dari Bandar Utama menuju Kinrara melalui kawasan Petaling Jaya.

Beliau menambah projek itu menyediakan alternatif kepada lalu lintas yang menggunakan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), yang menurutnya sudah melebihi kapasiti.

Secara prinsipnya, kata Nanta, projek PJD Link merupakan suatu prasarana yang perlu berdasarkan Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya, yang digunakan untuk merancang dan membangunkan rangkaian jalan raya dan lebuh raya.

Projek PJD Link diluluskan secara prinsip oleh Jemaah Menteri, pada 12 Nov 2017, dan oleh kerajaan Selangor, pada 3 Sept 2020.

Pada Julai 2022, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri akan menolak sebarang bentuk pembangunan lebuh raya sekiranya tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Dapatan penilaian impak sepatutnya dihantar pada 5 Apr 2023, setahun selepas perjanjian konsesi dimeterai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.