
Nurul Ashikin berkata, dalam perhimpunan agung tahunan pada Januari lalu Pejuang memutuskan parti itu perlu menyertai satu gabungan.
“Kami mahu berbincang dengan kedua-dua gabungan. Bagaimanapun PN lebih terbuka untuk perbincangan.
“PH pula tidak memberi sebarang maklum balas terhadap permohonan kami untuk berjumpa dan berbincang,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, keputusan memilih PN dibuat selepas berbincang dengan ahli parti.
“Sebagai salah seorang pemimpin biro politik Pejuang, saya menghormati kemahuan ahli. Kami menghantar ‘Google form’ kepada ahli untuk memilih gabungan mana mereka suka, jadi ini adalah keputusan bersama,” katanya.
Nurul Ashikin berkata, Pejuang yang mempunyai empat Adun akan memberi kelebihan kepada PN.
“Kami ada dua kerusi di Kedah dan dua di Selangor. Sekiranya PN menerima permohonan kami, Pejuang akan meningkatkan sokongan mereka di kerusi ini,” katanya.
Bagaimanapun, Nurul Ashikin berkata, beliau tidak pasti bila PN akan memberi maklum balas mengenai permohonan Pejuang itu.
“Kami tidak tahu bila mereka akan memberikan jawapan tetapi kami berharap mereka akan berkata ‘ya’ pada permohonan kami,” katanya.
Terdahulu, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata Majlis Eksekutif Pusat Pejuang memutuskan parti itu memohon menyertai gabungan diterajui Muhyiddin Yassin.
Mukhriz berkata, adalah tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya semata-mata hanya untuk tujuan mengelak daripada pertindihan kerusi ditandingi.
Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau belum menerima sebarang maklumat mengenai permohonan Pejuang tersebut.