
Katanya, agensi itu yang diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya melaksanakan tugas penapisan filem dan bahan publisiti yang disiarkan, dipamerkan, disebarkan, ditayangkan, diedarkan secara fizikal, kecuali filem penstriman melalui internet.
“Berdasarkan semakan, didapati filem tersebut tiada dalam rekod penapisan LPF.
“Filem ini juga didapati ditayangkan secara dalam talian (melalui platform internet). Oleh yang demikian, tayangan atau penstriman filem Mentega Terbang ini di luar bidang kuasa LPF,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, LPF sentiasa peka dan komited dalam memastikan unsur negatif, termasuk elemen bertentangan akidah dalam filem dapat dicegah daripada disiarkan, dipamerkan, disebarkan, ditayangkan atau diedarkan secara konvensional kepada masyarakat umum di Malaysia.
Katanya, agensi itu sedang meneliti semua aspek berkaitan secara menyeluruh, sebelum tindakan lanjut diambil berhubung dengan filem itu.
Sebelum ini, tular sedutan babak tertentu dalam filem itu yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging khinzir daripada rakan bukan Islamnya untuk dimakan, selain bapanya membenarkan Aisyah keluar dari Islam dan memeluk agama lain.
Sedutan babak itu mengundang amarah di platform media sosial, dengan warganet mempersoalkan bagaimana filem itu dibenarkan untuk tontonan umum.
Turut mengkritik ialah Menteri Hal Ehwal Agama, Mohd Na’im Mokhtar yang berkata, filem itu jelas bertentangan akidah dan cara kehidupan umat Islam tempatan.
Justeru, beliau mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghantar laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar tindakan diambil terhadap filem kontroversi itu.
Sementara itu, LPF berkata, memandangkan filem itu tidak mendapat kelulusan untuk tujuan tayangan umum, sekiranya masyarakat awam mendapati ia ditayangkan secara konvensional di mana-mana premis, aduan boleh disalurkan terus kepada pejabatnya.