Tinjauan mungkin ada kekurangan, tetapi Umno harus ambil serius sentimen, kata ahli akademik

Tinjauan mungkin ada kekurangan, tetapi Umno harus ambil serius sentimen, kata ahli akademik

Keputusan 71% orang Melayu 'tidak berpuas hati' dilihat mendatangkan nama buruk buat Umno sebagai parti Melayu terbesar dalam kerajaan.

Satu-satunya cara Umno boleh menangani tahap popularitinya yang kini rendah adalah dengan menyingkirkan Presiden Ahmad Zahid Hamidi, kata ahli akademik.
PETALING JAYA:
Dua ahli akademik memberitahu Umno agar mengambil perhatian hasil tinjauan yang menunjukkan 71% daripada orang Melayu tidak berpuas hati dengan kerajaan walaupun salah seorang daripada mereka mengkritik tinjauan itu mempunyai kekurangan.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara dan Azmil Tayeb daripada Universiti Sains Malaysia berkata, keputusan itu mendatangkan nama buruk buat Umno sebagai parti Melayu terbesar dalam kerajaan.

Azmi memberitahu FMT, metodologi yang digunakan untuk tinjauan membabitkan 35,000 responden itu tidak tepat dan orang ramai tidak seharusnya membuat kesimpulan terlalu besar daripada keputusan itu.

Namun, katanya, ia masih menjadi peringatan buat Umno bahawa zaman ia dianggap sebagai pembela orang Melayu sudah lama berlalu, dengan peranan itu kini diambil alih oleh PAS.

“Umno harus berbuat sesuatu mengenai perkara ini jika mahu mendapatkan semula keyakinan pengundi Melayu, dan semuanya bergantung pada pemilihan Umno bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, Umno boleh menanam semula keyakinan pengundi Melayu jika semua jawatan penting dalam parti diisi oleh individu bukan daripada puak yang menentang mahupun menyokong presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Bulan lepas, Azmi berkata, Umno harus menumpukan perhatian kepada menarik pengundi dengan membuang “persepsi rasuah” dan menyingkirkan budaya politik wang yang sudah lama berakar dalam parti itu.

Beliau tidak menyebut Zahid, tetapi presiden Umno itu ditekan untuk berundur sebagai timbalan perdana menteri kerana berdepan tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah dalam kes mahkamah yang sedang berjalan.

Keputusan Zahid untuk menggugurkan beberapa nama besar daripada bertanding pada PRU lepas mencetuskan perpecahan dalam Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya dan beliau dipersalahkan atas prestasi buruk gabungan itu.

“Jika ahli Umno memilih kumpulan pro atau anti-Zahid, Umno akan kembali ke tempat asal dan tidak akan ada perbezaan dari segi keyakinan pengundi Melayu,” kata Azmi.

“Ini sesuatu yang mesti diusahakan Umno, bukan Pakatan Harapan (PH), kerana dalam kalangan Umno, PKR dan Amanah, Umno ialah taruhan terbaik dari segi menarik pengundi Melayu.”

Azmil memberitahu FMT, beliau percaya tahap populariti rendah dalam kalangan orang Melayu dalam tinjauan itu berpunca daripada “kebencian sedia ada majoriti pengundi Melayu” terhadap kerajaan.

“Keputusan PRU15 menjadi bukti populariti Umno yang rendah dalam kalangan pengundi Melayu dan ia kini ditunjukkan dalam keputusan tinjauan,” katanya.

“Satu-satunya cara Umno boleh menangani perkara ini adalah dengan menyingkirkan Zahid. Tetapi ia lebih mudah disebut daripada dilakukan, terutamanya sekarang apabila beliau telah berjaya mengukuhkan pegangannya ke atas parti dengan menyingkirkan pesaingnya.”

Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan bekas ketua Umno Selangor Noh Omar dipecat pada Januari kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15.

Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan adalah antara yang digantung keahlian selama enam tahun.

Dijalankan oleh firma penyelidikan O2 Research atas permintaan Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban, tinjauan itu mendapati hanya 15% responden Melayu berpuas hati dengan usaha kerajaan memenuhi manifesto PRU15 manakala 71% tidak berpuas hati.

Kerajaan perpaduan dianggotai PH, BN, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah dengan sokongan Ahli Parlimen Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia dan bebas. Mereka semua berkempen pada PRU15 dengan manifesto yang berbeza.

Tinjauan itu dikritik oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada Selasa. Katanya, tinjauan itu tidak jujur dan mempunyai kekurangan kerana 81% daripada sampelnya terdiri daripada lelaki, gambaran yang tidak tepat mengenai asas pengundi di negara ini.

Ketua Institut Analisis Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia Mashitah Udin berkata, responden tinjauan itu tidak mewakili pengundi kerana dipilih dalam kalangan pengikut lima organisasi berita.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.