
Rayuan itu pada asalnya ditetapkan untuk pendengaran hari ini.
Peguam menganggotai barisan peguam Isa, Siti Sarah Khalil, berkata mereka meminta penangguhan perbicaraan selepas menerima hujahan bertulis pihak pendakwaan pada 20 Feb.
“Hujahan itu kira-kira 500 muka surat dan kami memerlukan masa untuk menelitinya,” katanya kepada FMT.
Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, berkata pihak pendakwaan tidak mempunyai bantahan terhadap penangguhan itu.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Noor Firdaus menetapkan tarikh perbicaraan baharu ketika pengurusan kes hari ini.
Afzainizam berkata, pihak tersebut diarah memfailkan hujahan mereka sebagai jawapan, dua minggu sebelum perbicaraan.
Isa mencabar penghakiman bertulis hakim perbicaraan Nazlan Ghazali setebal 400 muka surat yang dikeluarkan pada Ogos 2021, mendakwa ia mengandungi pelbagai kesilapan undang-undang dan fakta.
Nazlan, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dan denda RM15.4 juta pada 3 Feb 2021 selepas mendapati Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta berhubung pembelian sebuah hotel oleh Felda di Kuching pada 2014.
Dia menjatuhkan hukuman penjara enam tahun kepada Isa bagi setiap sembilan pertuduhan, dengan hukuman berjalan serentak.
Bagaimanapun, Nazlan membenarkan Isa menangguhkan pelaksanaan terhadap hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Isa, yang merupakan pengerusi Felda dari Januari 2011 hingga Januari 2017, dibebaskan dengan ikat jamin RM1.5 juta.
Dia dikenakan satu pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan sembilan pertuduhan rasuah berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel and Suites di Kuching, Sarawak.
Pada penutupan kes pendakwaan, mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan CBT tetapi memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan rasuah.
Pihak pendakwaan merayu pembebasan Isa atas pertuduhan CBT.