Pembantu nafi Muhyiddin ditahan

Pembantu nafi Muhyiddin ditahan

Terdahulu, portal berita Harapan Daily mendakwa bekas perdana menteri itu ditahan ketika bermain golf.

Sumber berkata, Muhyiddin Yassin dijadualkan memberi keterangannya di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya esok.

Nota pengarang: Berita ini dikemas kini dengan penafian daripada pembantu Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan penahanan bekas perdana menteri itu.

PETALING JAYA:
Seorang pembantu Muhyiddin Yassin menafikan bekas perdana menteri itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti didakwa portal berita, Harapan Daily.

Portal itu memetik sumber sebagai berkata, presiden Bersatu itu ditahan ketika bermain golf di sebuah kelab di Selangor.

Setiausaha akhbar Muhyiddin, Hafiz Abdul Halim ketika dihubungi menafikan pengerusi Perikatan Nasional itu ditahan.

“Tak betul. Dia tidak ditahan hari ini,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Muhyiddin menerusi catatan di Facebooknya berkata, laporan mendakwa beliau ditahan di padang golf hari ini adalah palsu.

“Hari ini, saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang akan bermula Jumaat ini.”

Katanya, beliau diminta ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 11 pagi esok untuk memberi keterangan.

Akaun Bersatu dibekukan SPRM sebulan lalu bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla), sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan.

Pemimpin Bersatu lain yang ditahan SPRM, termasuk Bendahari Agungnya Salleh Bajuri, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.