
Sambil menyatakan ia “kali pertama dalam sejarah” bahawa seorang presiden parti politik telah didakwa di mahkamah kerana menerima sumbangan politik untuk partinya, Muhyiddin mempersoalkan mengapa parti lain dan presiden mereka tidak disiasat atau didakwa.
“Saya hendak cabar SPRM supaya siasatlah sumber kewangan PKR dan Umno. Tidakkah mereka juga menerima dana politik daripada ahli-ahli perniagaan?” katanya kepada perwakilan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke-5.
Pada Jumaat lalu, Muhyiddin didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa berhubung program Jana Wibawa untuk memperoleh RM232.5 juta bagi Bersatu.
Beliau juga mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.
Selain itu, Muhyiddin yang berkata sudah 50 tahun berkecimpung dalam politik menegaskan parti politik tidak menjalankan perniagaan untuk menjana pendapatan yang boleh digunakan untuk membiayai aktiviti parti dan kempen pilihan raya.
“Oleh itu, sumber utama dana parti politik adalah sumbangan daripada ahli dan penyokong parti, termasuklah ahli perniagaan, hartawan dan dermawan yang menyokong perjuangan parti.
“Tanpa sumbangan dana, tentulah amat sukar bagi sesebuah parti politik untuk menjalankan fungsinya dalam sebuah negara demokrasi,” katanya.