Pengarah ‘Mentega Terbang’ terima ugutan bunuh

Pengarah ‘Mentega Terbang’ terima ugutan bunuh

Kereta Khairy Anwar turut disimbah cat merah dan hitam.

Pengarah ‘Mentega Terbang’ Khairi Anwar membuat laporan polis mengenai ugutan diterima pagi tadi. (Gambar Twitter Hadi Azmi)
PETALING JAYA:
Pengarah “Mentega Terbang”, Khairi Anwar menerima ugutan bunuh susulan kontroversi filem itu yang mengundang kemarahan banyak pihak kerana mempunyai unsur menghina Islam.

Menurut Malaysiakini, Khairi menerima nota ugutan yang memberi amaran “Lu dengan family mesti mati” di rumahnya di Selangor, dan keretanya juga disimbah cat merah dan hitam.

Nota lain yang ditinggalkan di rumahnya berbunyi: “Islam pasti bangkit! #MentegaTerbang”, “Mentega Terbang, jangan cabar Islam”, “Ingat family selamat Mentega Terbang?” dan “Tengok lu punya langsi Mentega Terbang”.

Dalam laporan polis dilihat Malaysiakini, pengarah berusia 31 tahun itu berkata kereta pelakon Arjun Thanaraju juga disimbah cat merah dan asid di rumahnya di Ampang.

Ketua Polis Kajang, Zaid Hassan, ketika dihubungi mengesahkan Khairi membuat laporan pagi tadi.

Semalam, polis selesai mengambil keterangan penerbit dan enam pelakon filem itu.

Jumaat lalu, polis merakam percakapan pengarah dan seorang pelakon filem itu di Bukit Aman yang dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Filem itu yang disiarkan secara percuma di platform penstriman digital, mendapat bantahan umat Islam di negara ini kerana didakwa mengandungi unsur pluralisme agama yang boleh menjejaskan akidah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.