Saman fitnah: Sanusi ‘tak menyesal’ dalam pembelaan, kata Anwar

Saman fitnah: Sanusi ‘tak menyesal’ dalam pembelaan, kata Anwar

Sanusi Md Nor dalam pembelaannya berkata Anwar Ibrahim tidak seharusnya tersinggung dan mendakwa ucapan perdana menteri turut berbaur fitnah serta melampau.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendakwa Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor memfitnahnya pada kempen PRU15.
KUALA LUMPUR:
Anwar Ibrahim menolak penjelasan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berhubung kenyataan dibuat terhadapnya ketika berucap pada kempen PRU15, November lalu.

Menerusi kenyataan difailkan pada 13 Mac dalam samannya terhadap pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu, perdana menteri berkata pembelaan Sanusi menunjukkan beliau masih menunjukkan “sikap tidak menyesal”.

Anwar mendakwa fitnah itu dirancang, dibuat dengan niat jahat, dan mala fide.

Sambil menyifatkan alasan Sanusi sebagai “oksimoron dan kelakar”, Anwar berkata beliau kini berhak mengemukakan bukti “watak” dan “keburukan” Sanusi sendiri pada perbicaraan kes saman itu.

Anwar memfailkan saman fitnah ke atas Sanusi pada Disember tahun lalu.

Bulan lalu, Sanusi dalam pembelaannya berkata Anwar tidak mempunyai asas untuk bersikap sensitif atau tersinggung atas kritikan terhadapnya.

Beliau berkata, Anwar semasa ucapan kempen pilihan raya telah menundukkan lawan politiknya dengan mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja kritikal tetapi “fitnah” dan “melampau”.

“Adalah tidak munasabah dan menghairankan bagi seorang ahli politik yang kerap menggelar orang lain sebagai ‘pencuri’, ‘bodoh’, dan lain-lain, tiba-tiba menjadi sensitif apabila lawannya mengulas dan mengkritiknya berdasarkan latar belakangnya yang diketahui umum,” kata Sanusi dalam pembelaannya.

Sanusi juga berkata kenyataannya mengenai Anwar adalah berdasarkan rekod awam sejak 1998 apabila Anwar dipecat daripada kerajaan.

Adun Jeneri itu bergantung kepada pembelaan justifikasi, keistimewaan yang layak, dan kenyataan yang adil untuk mengetepikan saman Anwar.

Difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Anwar menuntut ganti rugi daripada Sanusi kerana merosakkan reputasinya.

Sanusi didakwa membuat kenyataannya itu pada 13 Nov tahun lalu, enam hari sebelum hari pengundian PRU15. Ketika itu, beliau berucap menyokong Ahmad Faizal Azumu daripada PN yang tewas kepada Anwar di Parlimen Tambun.

Ucapan itu dilaporkan secara meluas di media selain dirakam video dan disiarkan di Facebook.

Anwar mendakwa kenyataan Sanusi membayangkan dirinya menyalahgunakan kuasanya sebagai Ahli Parlimen, penipu, pengkhianat, munafik, dan bukan seorang Muslim yang baik.

Anwar menerima pengampunan diraja penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2018 bagi tiga sabitan terhadapnya – iaitu satu tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan liwat – atas alasan berlaku “salah laksana keadilan”.

Katanya, pengampunan itu juga diperkenan atas dasar berlaku konspirasi untuk memusnahkan karektornya.

Anwar diwakili peguamcara S N Nair & Partners, manakala firma Yusfarizal, Aziz & Zaid bertindak untuk Sanusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.