Saman Zahid terhadap Dr M berkait ‘gugur kes rasuah’ didengar November

Saman Zahid terhadap Dr M berkait ‘gugur kes rasuah’ didengar November

Ahmad Zahid Hamidi menyaman bekas perdana menteri itu kerana membayangkan dirinya mengambil jalan singkat untuk menyelesaikan kes jenayah dihadapinya.

Ahmad Zahid Hamidi (kiri) berkata kenyataan Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak benar, tidak wajar, tiada asas dan memudaratkan.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan empat hari bermula 6 Nov bagi mendengar saman fitnah Ahmad Zahid Hamidi terhadap Dr Mahathir Mohamad.

Zahid menyaman Mahathir pada April 2022 susulan kenyataan bekas perdana menteri itu yang mendakwa beliau meminta bantuan untuk “menggugurkan” tuduhan rasuah dihadapinya.

Peguam Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi, berkata perbicaraan akan didengar Hakim Rozana Ali Yusoff.

Peguam, Intan Hanis Afiqah Razali, hadir mewakili Zahid.

Pada sidang media 23 Feb 2022, Mahathir mendakwa Zahid dan beberapa individu lain bertemu di kediamannya.

Mahathir didakwa berkata, presiden Umno itu mahu “berbaik-baik” dengannya sebelum Mahathir dilantik perdana menteri bagi kali kedua, pada Mei 2018.

Zahid mendakwa, kenyataan Mahathir tidak benar, tidak wajar, tiada asas, dan memudaratkan.

Katanya, apa dikatakan Mahathir memberi maksud beliau memilih jalan pintas untuk menyelesaikan kes jenayahnya demi kepentingan peribadi.

Zahid menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi am, dan ganti rugi teladan.

Mahathir dalam pernyataan pembelaan, tegas dengan kenyataan tersebut dan akan melawan saman dikemukakan.

Zahid turut memfailkan saman berasingan terhadap Muhyiddin Yassin, yang membuat dakwaan hampir sama terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, pada kempen PRN Johor 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.