
Salim Bashir berkata, hukuman penjara lebih panjang tetapi tetap terhadap banduan, tidak diragui adalah lebih baik berbanding melihat kehidupan dari sebalik tirai besi.
“Kekal dalam penjara sepanjang hayat tidak ada beza dengan hukuman mati,” katanya kepada FMT.
Bekas presiden Majlis Peguam itu mengulas cadangan kerajaan memberikan budi bicara kepada hakim apabila menjatuhkan hukuman bagi kesalahan seperti pembunuhan, keganasan, tebusan dan pengedaran dadah.

Ia juga mengesyorkan hukuman mati dimansuhkan bawah Akta Senjata 1960 dan hukuman penjara seumur hidup yang ditetapkan dalam Akta Senjata Api (Penalti Bertambah) 1971.
Pemansuhan Rang Undang-undang Hukuman Mati Mandatori 2023, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin, kini mencadangkan untuk memberi pilihan kepada hakim mengenakan hukuman penjara sehingga 40 tahun.
Ketika ini tempoh pemenjaraan dihadkan kepada 30 tahun.
Salim berkata, dengan pengurangan ke atas hukuman penjara yang diberikan kerana berkelakuan baik, banduan lebih muda menjalani hukuman untuk jenayah berat masih boleh mengharapkan pembebasan dan menjadi rakyat lebih produktif.
“Saya berharap hukuman mati mandatori dan hukuman penjara seumur hidup akan dikeluarkan daripada buku statut,” kata pengamal undang-undang jenayah itu.
Katanya, hukuman itu tidak berjaya mengurangkan jenayah.
Peguam Rafique Rashid Ali juga berharap kerajaan akan menggubal undang-undang baharu yang membenarkan banduan berkelakuan baik dibebaskan awal.

“Selain itu, kerajaan mesti melaksanakan pembaharuan penjara yang bermakna, yang harus merangkumi program pemulihan sesuai untuk banduan bagi menyediakan mereka untuk kehidupan selepas dibebaskan,” katanya.
Rafique, bekas pengerusi bersama jawatankuasa undang-undang jenayah Majlis Peguam, meminta lebih banyak latihan kemahiran disediakan, termasuk untuk banduan lebih berusia, kerana tempoh penjara lebih lama akan menyaksikan lebih ramai “warga emas” dipenjarakan.
“Hukuman penjara menghilangkan kebebasan banduan. Oleh itu, ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan maruah semua banduan kekal utuh.
“Ini boleh direalisasikan dengan memberi harapan kepada mereka agar menjadi produktif dan diterima oleh masyarakat selepas memperoleh semula kebebasan mereka,” katanya.