
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata jawatankuasa itu turut melibatkan gabungan beberapa kementerian dan agensi termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN).
“Isu ini telah dibincangkan di mesyuarat Kabinet pada 31 Mac 2023, yang akhirnya bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi.
“Ia gabungan beberapa kementerian dan agensi termasuk KSN bagi menangani isu berkaitan doktor kontrak yang menjadi topik hangat banyak pihak sama ada di media sosial mahupun media arus perdana,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya menyedari terdapat berita tular menerusi media sosial mengenai jemputan penganjuran mogok dalam kalangan doktor kontrak akan diadakan pada 3 hingga 5 April ini.
Menurutnya, KKM berpandangan mogok bukanlah suatu jalan penyelesaian terbaik terhadap apa juga permasalahan yang timbul berkaitan dengan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional yang lain.
“Perkhidmatan kesihatan adalah suatu perkhidmatan kritikal, melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat,” katanya sambil memaklumkan KKM tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai mogok bakal diadakan.
Sementara itu, Zaliha berkata KKM telah mengambil tindakan terhadap permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan.
“Antaranya adalah mewujudkan perjawatan tetap, memberi penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat secara time-based, peluang kenaikan ke gred khas dan pengwujudan gred UD56 untuk pakar perubatan dan sebagainya.
“Skim kesihatan yang lain juga diambil peduli dan ditambah baik,” katanya.
Sebelum ini, satu kumpulan yang dikenali sebagai “Mogok Doktor Malaysia” memaklumkan, kira-kira 8,000 doktor kontrak bercadang menyertai mogok yang akan diadakan bulan ini.
Kumpulan itu juga mengancam pekerja kesihatan boleh bertindak meletak jawatan secara beramai-ramai.