
Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul, memaklumkan Mahkamah Sesyen, penangguhan itu diperoleh dalam tuntutan mahkamah difailkan di Mahkamah Tinggi oleh ahli perniagaan Ling Yang Ching dan Wong Ong Hua, kedua-duanya dikehendaki kerajaan Amerika Syarikat.
Jabatan Keadilan (DoJ) mahu pihak berkuasa Malaysia mengekstradisi mereka untuk menghadapi pertuduhan di daerah Columbia kerana didakwa menjalankan operasi penggodaman global untuk mencuri identiti dan teknologi permainan video, meletakkan perisian tebusan dan mengintip aktivis Hong Kong.
Ling dan Wong ditahan Bukit Aman pada 14 Sept 2020.
Awal tahun ini, mereka berjaya mendapatkan pengisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa Seksyen 4 dan 20 Akta Ekstradisi 1992 tidak berperlembagaan atas alasan ia melanggar kebebasan asasi mereka dan kuasa kehakiman yang diberikan kepada mahkamah oleh Perlembagaan Persekutuan.
Seksyen 4 adalah berkenaan kuasa menteri dalam negeri untuk mengarahkan ekstradisi suspek bagi menghadapi tuduhan jenayah di negara yang membuat permintaan.
Seksyen 20 menyatakan mahkamah mesti meletakkan suspek dalam tahanan sementara menunggu perintah menteri menyerahkannya.
Hari ini, Ashrof memaklumkan Mahkamah Sesyen, yang mendengar kes ekstradisi Ling dan Wong, perintah penangguhan itu akan berkuat kuasa sehingga rayuan kerajaan untuk mengembalikan semula Seksyen 4 dan 20.
Katanya, Mahkamah Rayuan menetapkan 10 Mei untuk pengurusan kes.
Hakim Mahkamah Sesyen Norina Zainol Abidin kemudian menetapkan 9 Jun ini untuk pihak pendakwaan mengemaskini perkembangan rayuan mereka.