Projek KXP masih sukar dimulakan

Projek KXP masih sukar dimulakan

Kebanyakan pakar bersetuju projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim tidak berdaya maju, pandangan yang mendapat perhatian disebabkan kosnya berganda, manakala rakan strategik pula menarik diri.

Model skala KXP. Pengkritik tidak bersetuju dengan projek itu, tetapi sesetengah pihak dalam industri aeroangkasa melihat ada logiknya untuk meneruskannya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Biarpun ramai tidak bersetuju dengan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), namun ada segelintir pihak memberi amaran supaya tidak terus menolaknya.

Pengkritik menyentuh kekurangan trafik kargo dan lokasinya berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) sebagai alasan untuk menghentikan projek KXP, namun yang lain melihat potensi pertumbuhan masa depan.

Sekiranya KXP menjadi kenyataan, terdapat tiga lapangan terbang dalam radius 70km, termasuk Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Shah di Alor Setar.

Rosli Azad Khan, yang menghabiskan 30 tahun menguruskan lebih 100 projek perundingan dalam sektor pengangkutan, menyifatkan KXP sebagai projek bermotifkan politik.

Beliau memberitahu FMT Business, Kulim tidak akan menerima banyak pesawat seperti Alor Setar yang belum memenuhi kapasiti penuh.

Seorang pemain industri logistik berkata, hanya 20% kargo udara yang melalui Pulau Pinang dari Kulim, menyukarkan syarikat untuk mewajarkan pemindahan gudang mereka ke utara.

PIA mengendalikan 104,011 tan kargo pada 2022, di mana lebih 20,000 tan daripadanya datang dari Kulim.

Rosli berkata, ini hanya boleh mencapai 54 tan sehari.

“Ini kurang daripada apa yang dibawa pesawat sebesar Boeing 737 dalam setiap penerbangan. Kita tidak boleh membelanjakan RM7 bilion untuk membina sebuah lapangan terbang hanya untuk memberi perkhidmatan kepada sebuah pesawat sehari.”

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia, Naguib Md Nor, melihat beberapa logik dalam projek itu.

Beliau memberitahu FMT Business, gandingan KXP dengan Sidam Logistics and Aerospace Manufacturing (SLAM) akan menyokong pengembangan sektor elektrik dan elektronik (E&E) untuk memenuhi keperluan industri aeroangkasa.

SLAM, yang akan ditempatkan di Sidam Kiri di daerah Kuala Muda, adalah taman perindustrian yang akan memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai tinggi dalam pembuatan, logistik dan aeroangkasa.

Naguib berkata, jika projek SLAM itu berjaya, ia akan menjadi cadangan unik untuk perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) di KXP.

MRO merupakan sektor semakin berkembang di rantau ini, tetapi di Malaysia, kebanyakannya tertumpu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Penyedia perkhidmatan logistik lain berkata, KXP akan mendapat keuntungan daripada pelaburan tambahan dalam sektor E&E di Pulau Pinang.

Sektor E&E menyumbang 38% daripada eksport Malaysia dan kebanyakannya terletak di Pulau Pinang, menjadikannya Lembah Silikon Timur.

Secara purata, produk E&E bernilai RM100 bilion transit melalui Pulau Pinang setiap tahun. Malaysia menarik pelaburan langsung asing baharu dalam E&E berjumlah RM148 bilion pada 2021.

Sejarahnya

Projek KXP bergelut untuk dimulakan kerana banyak sebab.

Pertambahan kos, penentangan politik dan penarikan diri rakan strategik kerajaan Kedah yang tidak dijangka dalam projek itu antara faktor membantutkan usaha itu.

Idea yang mula dicetuskan pada Disember 2014 adalah menempatkan KXP di Sidam Kiri, 20 minit perjalanan dari Kulim Hi-Tech Park (KHTP). Projek itu dijangka menelan belanja RM3.89 bilion.

Pelan asalnya hanya untuk mendirikan lapangan terbang kargo, tetapi ia menjadi semakin mewah. Laporan 2020 yang bocor menunjukkan kos meningkat kepada RM7 bilion, di mana RM2.5 bilion akan dibelanjakan untuk memperoleh tanah seluas 17km persegi buat projek itu.

Kos pembinaan, termasuk dua landasan untuk kargo dan komersial, akan menelan belanja RM2.5 bilion lagi. Ia ditambah RM1.8 bilion untuk lebuh raya Kulim-Sungai Petani untuk menambah baik kesalinghubungan.

Bagaimanapun, tiada maklumat jelas mengenai pembiayaan dan model projek awam-swasta yang dicadangkan oleh kerajaan, gagal.

Ia tidak berjaya apabila rakan strategik kerajaan Kedah — Kumpulan ECK — menarik diri Julai tahun lepas. Syarikat itu tidak menjawab pertanyaan FMT Business.

Kebanyakan yang tahu bersetuju, masa untuk KXP belum tiba, tetapi daya majunya pada masa akan datang masih diperdebatkan.

Ketika pakar logistik menyatakan KXP wajar dibina dengan mengambil kira masalah kesesakan di laluan darat Kulim-Pulau Pinang, Rosli mempersoalkan rasional tidak memperkenalkan sistem rel, sama seperti ERL yang melalui laluan KL Sentral-KLIA, di utara.

Perdebatan mengenai perkara itu masih berterusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.