Tiada maklumat bocor, kata KP imigresen selepas laman web digodam

Tiada maklumat bocor, kata KP imigresen selepas laman web digodam

Ruslin Jusoh berkata serangan itu menyebabkan ia gagal diakses dan muka hadapan laman web JIM ditukar kepada paparan imej lain.

Jabatan Imigresen berkata laman webnya dijangka pulih dan boleh diakses semula orang ramai petang ini.
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen (JIM) berkata tiada kebocoran maklumat berlaku susulan laman web rasmi jabatan itu diserang individu menggelarkan dirinya sebagai “CaptainSmok3r” awal pagi ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh, berkata serangan pada 2 pagi mengakibatkan ia gagal diakses dengan muka hadapan laman web JIM ditukar kepada paparan imej lain.

“Serangan siber ini berbentuk ‘defacement’. Bagaimanapun, capaian berkaitan dengan perkhidmatan JIM seperti myIMMs, SSPI dan lain-lain tidak terkesan dengan insiden ini,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Ruslin berkata, JIM mengambil langkah pembetulan serta-merta dengan menutup capaian laman web daripada diakses orang ramai untuk melakukan kerja baik pulih konfigurasi keselamatan laman web.

Katanya, Bahagian Teknologi Maklumat JIM mengadakan perbincangan dan kerjasama bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) dan CyberSecurity bagi membantu jabatan untuk tindakan pengukuhan laman web.

“Laman web JIM dijangka pulih dan boleh diakses semula orang ramai petang ini.

“Jabatan ini menegaskan tiada sebarang kebocoran maklumat berlaku dan menasihatkan orang ramai tidak membuat andaian atau spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan JIM memaklumkan laman webnya iaitu www.imi.gov.my diselenggara buat sementara waktu.

JIM memaklumkan perkara itu menerusi hebahan di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.