PBM tak sertai PRN Selangor

PBM tak sertai PRN Selangor

Presidennya, Larry Sng berkata, parti itu tidak akan mempertahankan kerusi DUN Lembah Jaya dan Sementa, sebaliknya akan bekerjasama dengan PH.

Presiden PBM, Larry Sng berkata, parti itu akan mengumumkan sama ada bertanding dalam PRN Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, apabila lebih hampir dengan tarikhnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak akan bertanding dalam PRN Selangor, yang bermakna ia tidak mempertahankan dua kerusi DUN disandangnya ketika ini.

Presidennya, Larry Sng berkata, parti itu mencapai persetujuan dengan Pakatan Harapan (PH) tidak akan bertanding di Selangor.

“Sudah ada persefahaman, kami tidak akan bertanding di Selangor. Berhubung dua kerusi yang secara rasmi dipegang PBM dalam DUN, kami akan bekerjasama dengan PKR di kawasan berkenaan,” katanya kepada FMT.

PRN dijangka diadakan selepas Julai ini.

Pelbagai spekulasi timbul berhubung nasib dua Adunnya, Haniza Talha (Lembah Jaya) dan Dr Daroyah Alwi (Sementa). Kedua-duanya menang atas tiket PKR pada pilihan raya umum 2018, tetapi mereka meninggalkan parti itu dua tahun kemudian untuk menyokong Perikatan Nasional sebagai calon bebas.

Mereka menyertai PBM pada 2021 dan kekal ahli parti itu walaupun menentang Sng sebagai presiden parti. Kedua-duanya menyokong Zuraida Kamaruddin yang memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bagi mendapat deklarasi beliau adalah presiden PBM yang sah.

Sng berkata, Haniza dan Daroyah tidak dipecat PBM bersama 10 yang lain pada Disember lalu kerana melanggar disiplin untuk tidak menggalakkan amalan lompat parti.

Di bawah undang-undang antilompat parti Selangor, wakil rakyat hilang kerusi sekiranya meletak jawatan atau bertukar parti. Bagaimanapun, mereka tidak akan dikenakan tindakan sekiranya dipecat parti.

Sama ada PBM akan bertanding dalam PRN Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, Sng berkata, parti itu sudah membuat keputusan, tetapi pengumuman hanya dibuat apabila lebih hampir dengan tarikhnya.

PH kini memegang 40 daripada 55 kerusi di DUN Selangor menerusi PKR (19), DAP (15) dan Amanah (enam). Selebihnya terdiri daripada wakil rakyat Barisan Nasional (lima), PN (lima), Pejuang (dua), PBM (dua) dan Warisan (satu).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.