Bomba kenalpasti 14 titik panas kemalangan

Bomba kenalpasti 14 titik panas kemalangan

Pasukan penyelamat bercadang menempatkan jentera dan keanggotaan kawasan titik panas kemalangan sepanjang lebuh raya di seluruh negara.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Abdul Wahab Mat Yasin berkata seramai 252 anggota bertugas sepanjang hari bermula 20 hingga 27 April menerusi gerakan ops ronda di lebuh raya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bomba telah mengenalpasti dan merancang untuk menempatkan jentera serta anggota di 14 kawasan titik panas kemalangan sepanjang lebuh raya di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Abdul Wahab Mat Yasin, berkata ia bagi mempercepatkan masa bertindak khususnya di waktu puncak melibatkan jentera pemadaman dan penyelamatan serta jentera EMRS di kawasan tersebut.

“Gerakan op ronda dan persediaan di lebuh raya ini bermula pada 20 hingga 27 April ini melibatkan seramai 252 anggota bertugas sehari secara 24 jam.

“Selain itu, bomba juga akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat rondaan di kawasan rekreasi tumpuan ramai dan berisiko tinggi berlaku kejadian lemas,” katanya menurut Bernama.

Dalam perkembangan lain, Abdul Wahab berkata, masalah pendawaian menjadi punca utama kebakaran struktur pada Aidilfitri tahun lalu.

Katanya, rintangan pemanasan, litar pintas dan terlebih bebanan elektrik pada perkakasan elektrik juga menjadi antara punca utama kebakaran.

Berikutan itu, katanya, pihaknya sentiasa memantau trend kes kebakaran direkodkan semasa Ops Hari Raya Aidilfitri dan orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dalam penggunaan peralatan elektrik ketika musim perayaan ini.

“Pada tahun lalu, terdapat peningkatan 4% iaitu sebanyak 46 kes kebakaran berbanding jumlah kes direkodkan tahun sebelumnya.

“Bagi kes penyelamatan dan panggilan tugas khas, kita dapat melihat pola penurunan iaitu masing-masing 6.95% dan 97.52%,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.