Petisyen ditolak, calon BN Segamat usaha batal kemenangan PH di Mahkamah Persekutuan

Petisyen ditolak, calon BN Segamat usaha batal kemenangan PH di Mahkamah Persekutuan

Mahkamah Pilihan Raya Muar menolak petisyen M Ramasamy untuk membatalkan kemenangan R Yuneswaran pada PRU15 awal bulan ini.

R Yuneswaran daripada PH (kiri) menewaskan M Ramasamy daripada BN untuk kerusi Parlimen Segamat dengan majoriti 5,669 undi pada PRU15 November lalu.
PUTRAJAYA:
Calon Barisan Nasional Segamat pada PRU15, M Ramasamy, ke Mahkamah Persekutuan dalam usaha menyingkirkan R Yuneswaran daripada Pakatan Harapan sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.

Ramasamy memfailkan rayuan pada 14 April terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Muar awal bulan ini yang menolak petisyen pilihan rayanya terhadap Yuneswaran dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bawah undang-undang pilihan raya, pihak yang terkilan mempunyai 14 hari dari tarikh keputusan mahkamah memfailkan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah tertinggi menetapkan pengurusan kes pada 9 Mei.

Mahkamah Pilihan Raya memutuskan petisyen Ramasamy adalah cacat kerana ia tidak mematuhi keperluan ditetapkan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (EOA).

Dalam penghakiman bertulisnya, Hakim Radzi Abdul Hamid berkata Ramasamy pada 18 Nov tahun lalu mendakwa Yuneswaran “merasuah” dengan memberi makanan kepada pengundi di acara tokong Cina untuk mempengaruhi mereka mengundinya.

Ramasamy turut membuat laporan polis terhadap Yuneswaran berhubung acara di tokong itu.

“Tindakan di tokong itu tidak boleh diandaikan telah menjejaskan keputusan pilihan raya bawah Seksyen 32(a) EOA,” kata Radzi.

Mahkamah juga berkata Ramasamy gagal untuk menentukan identiti mereka yang menghadiri acara tokong Yuneswaran dan menunjukkan mereka sebenarnya adalah pengundi di kawasan itu.

“Adalah perlu untuk menamakan penerima pek makanan untuk memastikan bahawa mereka sebenarnya pengundi Segamat dan mereka didorong secara rasuah untuk mengundi responden (Yuneswaran),” kata Radzi.

Yuneswaran menang dengan majoriti 5,669 undi pada PRU15, yang diadakan pada November tahun lalu. Beliau menewaskan Ramasamy, P Poobalan daripada Perikatan Nasional (PN) dan Syed Hairoul Faizey (Pejuang).

Dalam petisyennya, Ramasamy mendakwa Yuneswaran dan ejennya melanggar peraturan pilihan raya berhubung bahan kempen.

Ahli MIC itu juga mendakwa Yuneswaran mengedarkan bungkusan makanan kepada pengundi ketika kempen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.