‘Saya tak akan letak jawatan,’ kata Sivakumar berkait siasatan SPRM

‘Saya tak akan letak jawatan,’ kata Sivakumar berkait siasatan SPRM

Menteri itu sebelum ini dipanggil SPRM sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap pengambilan pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar akur dengan pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk beliau tidak meletak jawatan.
PETALING JAYA:
Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata beliau tidak akan meletak jawatan ketika siasatan dakwaan rasuah sedang dijalankan.

Beberapa pihak menggesa Sivakumar bercuti selepas beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap pengambilan pekerja asing, yang menyaksikan tiga pembantunya ditahan.

Katanya, beliau akur dengan pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau tidak perlu meletakkan jawatan.

“PM sudah menjawab soalan itu. Biarlah. Biar PM memutuskannya,” katanya menurut New Straits Times ketika ditanya mengenai gesaan berulang kali supaya beliau berundur.

Pada 17 April, Anwar berkata tidak ada keperluan untuk Sivakumar bercuti kerana dia hanya dipanggil untuk memberi kenyataan kepada SPRM, sambil menambah tiada pertuduhan dikenakan terhadap menteri itu.

Agensi antirasuah telah menahan tiga pembantu Sivakumar dan membebaskan mereka selepas reman selama empat hari tamat pada 17 April.

Sumber sebelum ini memberitahu FMT bahawa dua daripada tiga pembantu itu telah kembali bekerja manakala seorang lagi telah digantung gaji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.