
Pengakuan mereka direkodkan di depan Majistret Fatinah Abu Bakar selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Remaja lelaki yang bekerja sebagai pencuci kereta itu didakwa menunggang motosikal Honda EX-5 putih secara berbahaya, iaitu mengangkat tayar hadapan di Jalan Chendor di sini menghala ke Kemaman, Terengganu pada 5.30 petang 12 Mac lalu.
Remaja perempuan yang masih bersekolah pula didakwa membantu melakukan aksi itu selaku pembonceng pada masa dan di tempat sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu minimum dua tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, pasangan remaja terbabit yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM2,000 setiap seorang, yang ditawarkan pegawai pendakwa Nafizah Ismail atas alasan kewangan keluarga.
Remaja lelaki itu memaklumkan ibunya merupakan pekerja am dengan gaji RM1,500 sebulan, manakala remaja perempuan terbabit memberitahu ayahnya hanya berpendapatan RM700 hingga RM1,000 yang digunakan untuk menanggung dia tiga beradik.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM800 dengan seorang penjamin masing-masing dan menetapkan 7 Jun untuk laporan akhlak serta jatuh hukum.
Isnin lalu, polis mengesahkan penahanan sepasang remaja dipercayai kekasih di Balok, di sini selepas video mereka melakukan aksi “wheelie” tular di media sosial sehari sebelumnya.
Siasatan juga mendapati motosikal yang digunakan itu milik ibu remaja lelaki berkenaan.