Tuduhan terima suapan lepaskan pendatang, 2 pegawai imigresen mengaku tak salah

Tuduhan terima suapan lepaskan pendatang, 2 pegawai imigresen mengaku tak salah

Rosmaini Sapar dan Elmin Salleh didakwa menggunakan kad pengenalan individu lain untuk melepaskan sembilan pendatang keluar dari Sabah.

Dua pegawai imigresen Rosmaini Sapar dan Elmin Salleh mengaku tidak bersalah menerima suapan dan bersubahat melepaskan sembilan pendatang tanpa izin. (Gambar Reuters)
TAWAU:
Dua pegawai imigresen dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah atas pertuduhan melepaskan sembilan pendatang tanpa izin menggunakan kad pengenalan individu lain untuk keluar dari Sabah menuju ke Semenanjung, dua bulan lalu.

Rosmaini Sapar, 40, dan Elmin Salleh, 30, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Rosmaini didakwa menerima rasuah RM4,500 daripada seorang individu sebagai dorongan untuk pendatang tanpa izin berkenaan melepasi kaunter pemeriksaan imigresen 1, Lapangan Terbang Tawau antara 8.30 pagi hingga 9 pagi bagi menaiki penerbangan dari Tawau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 23 Mac.

Tertuduh yang bertugas di Pejabat Imigresen UTC Tawau, dituduh menerima rasuah itu di Bank Muamalat cawangan Tawau, Lot 69 & 70, Ground & First Floor No G4 & G6, Kubota Square, di sini, pada 22 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Elmin yang bertugas di Pejabat Imigresen, Lapangan Terbang Tawau pula didakwa bersubahat dengan Rosmaini serta menerima suapan di lokasi dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Jason membenarkan Rosmaini dan Elmin masing-masing diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali, selain tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.