Gunalah logo dacing di Pantai Timur, Wan Fayhsal beritahu BN-PH

Gunalah logo dacing di Pantai Timur, Wan Fayhsal beritahu BN-PH

Ahli Parlimen Machang itu berkata, langkah ini akan memberi kelebihan buat PN.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyokong parti-parti dalam kerajaan perpaduan menggunakan logo dacing, yang terbukti akan memberi kelebihan buat PN, pada PRN di Pantai Timur.
KUALA LUMPUR:
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengalu-alukan parti-parti dalam kerajaan perpaduan menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada PRN akan datang di Pantai Timur.

Langkah kerajaan BN-PH menggunakan logo dacing, katanya, akan memberi kelebihan kepada PN untuk “menyapu bersih” kerusi-kerusi di sana.

“Kami alu-alukan strategi tersebut. Tolonglah gunakan logo dacing untuk ‘jual’ PH dan BN,” katanya kepada pemberita di luar IPD Dang Wangi hari ini.

“Ini dah terbukti, guna dacing (pada PRU15) di Pantai Timur, di kubu Melayu, kita sapu bersih. Insya-Allah,”

Ahli Parlimen Machang itu berkata demikian mengulas tindakan BN yang sedang mempertimbangkan hasrat parti sekutunya dalam kerajaan perpaduan untuk menggunakan logo dacing pada PRN akan datang.

Pada Rabu, Pengarah Pilihan Raya BN Mohamad Hassan berkata, parti-parti sekutu dalam kerajaan perpaduan mahu menggunakan logo gabungan itu di beberapa negeri untuk mendapat kelebihan.

Mohamad bagaimanapun enggan mendedahkan parti berkenaan atau negeri yang terlibat.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi bahawa PN akan berpecah, termasuk terdapat parti yang akan ditendang, Wan Fayhsal berkata ada pihak yang cemburu dengan perpaduan ummah PN.

“Kita tengoklah semua jamuan majlis raya yang dibuat PN berbanding mereka yang buat. Jauh beza yang hadir itu, lebih berkali ganda berbanding apa yang Zahid buat di Bagan Datuk,” katanya.

Semalam, Zahid menjangkakan gabungan parti kononnya memperjuangan Melayu Islam akan pecah kerana sudah ada tanda-tanda keretakan sedang berlaku.

Tanpa menyebut nama parti dan gabungan itu, beliau dipercayai merujuk kepada PAS di mana sebelum ini Umno bersama parti itu dalam gabungan Muafakat Nasional (MN).

Zahid membuat jangkaan itu berdasarkan pengalaman Umno bersama PAS dalam MN, apabila ditendang dan rakannya itu memilih bersama PN.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.