
Pensyarah Universiti Sains Malaysia Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, Gerakan tidak berharap untuk meraih sokongan bukan Melayu susulan kenyataan Hadi baru-baru ini.
Hadi sebelum ini berkata, orang Melayu “ditipu secara terang-terangan” oleh kumpulan minoriti.
Gerakan hanya dapat meminimumkan kerosakan jika Hadi bersedia untuk menjelaskan kenyataannya secara terbuka, contohnya dengan menerangkan bagaimana beliau mencapai kesimpulan tersebut, kata Fauzi kepada FMT.
Pada Khamis, Gerakan menjauhkan diri daripada kontroversi dicetuskan Hadi dengan berkata, presiden PAS itu hanya menyatakan pandangan peribadinya yang tidak mewakili pendirian PN secara keseluruhan.
Gerakan juga akan membincangkan perkara itu dengan Hadi.
Ditanya sama ada Gerakan perlu meninggalkan PN, Fauzi berkata “belum lagi” kerana masih kurang alternatif yang masuk akal.
“Dengan menjadi parti pelbagai kaum tetapi didominasi oleh orang Cina, Gerakan tidak boleh diharapkan untuk mengisi tempat DAP dalam Pakatan Harapan (PH) selain tidak boleh menandingi kedudukan MCA dalam Barisan Nasional (BN),” katanya.
Beliau berkata, peranan Gerakan dalam PN adalah untuk menarik pengundi bukan Melayu yang menentang PH dan BN.
Katanya, PN dapat menunjukkan “wajah Malaysia” lebih baik dengan memberikan Gerakan lebih banyak kerusi yang boleh dimenangi.
Presiden Gerakan Dominic Lau telah menyatakan bahawa partinya berharap untuk meletakkan calon pada enam PRN akan datang, dan telah menghantar 70 nama kepada majlis tertinggi PN untuk dipertimbangkan.
Bagaimanapun, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, “mustahil” bagi Gerakan untuk meraih sokongan bukan Melayu kerana “kebanyakan orang bukan Melayu takut dengan agenda teokratik PAS, dan Gerakan telah memilih untuk terlibat dengan (PAS)”.
“Sama seperti PH tidak boleh berharap untuk memenangi sokongan Melayu yang besar, Gerakan tidak boleh dijangka memenangi sokongan bukan Melayu,” katanya.