
PETALING Jaya: Seorang pelajar Tingkatan 2 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau di Pulau Pinang ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki membuli rakannya sehingga menyebabkan mangsa cedera di muka.
Ketua Polis Pulau Pinang, Khaw Kok Chin, berkata siasatan awal mendapati berlaku tolak-menolak antara pelajar itu dengan rakannya berusia 14 tahun sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dari tangga.
“Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan pada anggota badan dan menerima rawatan di hospital.
“Pada awalnya kita mohon reman ke atas pelajar berkenaan namun dia dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam keterangan,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata demikian pada sidang media IPK Pulau Pinang.
Difahamkan, bapa pelajar itu membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa anaknya Khamis lalu itu.
Bapa mangsa dikatakan berbuat demikian susulan doktor yang merawat mangsa mendakwa kecederaan itu bukan disebabkan kemalangan.
Khaw berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa.
Kejadian itu adalah terbaharu membabitkan MRSM Balik Pulau selepas lima pelajar Tingkatan 5 ditahan minggu lalu kerana disyaki membuli pelajar junior sekolah berkenaan.
Polis berkata, pelajar berkenaan ditahan kerana disyaki memukul beberapa pelajar junior kerana lewat turun untuk solat Subuh.
Sementara itu, Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, menerusi hantaran di Facebook berkata beliau sudah terima laporan daripada Bahagian Pendidikan Mara dan semua yang terlibat dicadangkan untuk diberhentikan daripada MRSM.
“Tiada usaha menutup kes sebagaimana dakwaan. Tiada kompromi dalam isu buli dan pukul,” katanya.