Pemimpin Bersatu dakwa kerajaan sengaja lewat bentang Akta Pendanaan Politik

Pemimpin Bersatu dakwa kerajaan sengaja lewat bentang Akta Pendanaan Politik

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan juga mengesa NGO memberi tekanan kepada kerajaan untuk meluluskan akta tersebut.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata Akta Pendanaan Politik adalah akta yang paling mudah untuk dibawa ke Dewan Rakyat kerana drafnya sudah ada dan kajian telah selesai bertahun-tahun.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan mendakwa kerajaan sengaja melewatkan untuk membentangkan Akta Pendanaan Politik dengan alasan memerlukan masa untuk libat urus dengan semua parti dalam kerajaan perpaduan.

Dalam satu kenyataan di Facebook, bekas ketua penerangan Bersatu itu berkata alasan kerajaan yang perlu lebih masa untuk libat urus dengan semua parti politik dalam kerajaan perpaduan kerana ianya adalah gabungan baru adalah tidak boleh diterima.

Wan Saiful berkata parti-parti politik yang membentuk gabungan baru itu adalah parti lama dan libat urus telahpun dijalankan dengan semua parti.

“Sebenarnya akta ini adalah akta yang paling mudah untuk dibawa ke Dewan Rakyat kerana drafnya sudah ada, dan kajian telah dijalankan dan telah selesai bertahun-tahun.

“Kerajaan hanya perlu tambah satu klausa mengenai peruntukan tetap Ahli Parlimen sahaja,” katanya.

Wan Saiful mengulas jawapan bertulis di Parlimen bertarikh 25 Mei oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berhubung pertanyaan beliau mengenai menambah peruntukan tetap untuk Ahli Parlimen dalam Akta Pendanaan Politik.

Azalina berkata sebarang dasar baharu termasuk rang undang-undang itu perlu dibawa dan mendapat kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Beliau juga berkata susulan perkembangan politik selepas PRU15, termasuk pembentukan gabungan parti politik baharu, sesi libat urus perlu diteruskan dengan parti politik dan pihak berkepentingan.

Wan Saiful juga menyeru semua pihak, terutama NGO yang sekian lama memperjuangkan akta ini, agar memberi tekanan lebih kuat kepada kerajaan agar matlamat itu tercapai.

“Tanpa tekanan berterusan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan terus terlupa janji-janjinya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.