
Menurut Malaysiakini, Mahathir berkata, semua pihak itu juga memutuskan untuk tidak bertanding sesama sendiri dan sedang memikirkan untuk bertanding bersama-sama.
“Itu la tujuan kita hari ini dan kita semua setuju perlunya kita bergerak bersama. Kalau PRU pun kita gerak bersama.
“Kalau tak ada kuasa pun tak boleh buat apa pun,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Tertutup Rundingan Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu di Shah Alam.
Turut hadir Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir dan Presiden Putra Ibrahim Ali.
Tiga bekas pemimpin Umno, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim, Annuar Musa dan Noh Omar juga hadir ke mesyuarat itu, serta bekas Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.
Mahathir menegaskan bahawa Proklamasi Orang Melayu bukannya satu gerakan untuk menentang orang bukan Melayu tetapi memfokuskan untuk memperjuangkan nasib orang Melayu yang didakwa dibelenggu masalah kemiskinan.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRN nanti dan secara berseloroh berkata beliau sudah “nyanyuk”.