
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata denda itu membabitkan sebanyak 99,596 notis kesalahan bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.
Bagi penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan pula, Zaliha berkata pihaknya mengeluarkan denda keseluruhan RM11.3 juta untuk tempoh sama iaitu RM7.6 juta pada 2022 manakala RM3.7 juta sepanjang empat bulan tahun ini.
“Pada 2022 sebanyak 30,648 notis kesalahan merokok dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1)(d) manakala 14,872 notis tahun ini,” katanya dalam jawapan lisan Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang bertanyakan keberkesanan penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam seperti kedai makan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.
Larangan merokok di premis makan yang diwartakan pada 1 Jan 2019 membabitkan restoran, rumah kedai, kedai kopi, kios atau gerai makan, kendera saji dan tempat makan terbuka.
Zaliha berkata, KKM akan meneruskan penguatkuasaan larangan merokok di premis awam dengan kerjasama polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).