
Peguam Mervyn Lai, mewakili Thomas, berkata kerajaan pada ketika itu dipimpin bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob, telah “menyalahgunakan” jentera kerajaan dengan mengarahkan siasatan.
Katanya, siasatan itu dibentuk untuk “memburukkan” Thomas sebagai sebahagian daripada “serangan politik” terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH), yang melantiknya ke jawatan itu.
Thomas meletak jawatan pada Februari 2020 selepas kerajaan PH tumbang.
Pada 2021, beliau menerbitkan buku, “My Story: Justice in the Wilderness”, memperincikan hidup awalnya, pengalaman dalam amalan guaman, dan sepanjang tempoh berkhidmat sebagai peguam negara, antara Jun 2018 dan Februari 2020.
Pasukan Petugas Khas dianggotai lapan ahli ditubuhkan Jemaah Menteri Ismail, pada Oktober 2021, menyiasat sama ada kenyataan terkandung dalam buku tersebut adalah hasutan, mendedahkan rahsia kerajaan, atau mempunyai sebarang salah guna kuasa atau pengabaian profesionalisme dilakukannya.
Pasukan itu menyimpulkan bahawa Thomas didakwa mempunyai “kepentingan kuasa” dalam pelantikan hakim, dan beliau cuba menggunakan “pengaruh politik dan eksekutif” demi memastikan beberapa lantikan disempurnakan.
“Selepas laporan Pasukan Petugas Khas dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada September tahun lalu, perdana menteri (Ismail) mengarahkan agensi kerajaan menyiasat plaintif (Thomas).
“Beberapa hari kemudian, laporan Pasukan Petugas Khas boleh dibaca di laman web Jabatan Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri.
“Perdana menteri ketika itu juga berkata pada kempen pilihan rayanya bahawa laporan itu boleh digunakan sebagai ‘peluru politik’,” katanya.
Lai berkata, Thomas berhak mendapat pengisytiharan oleh mahkamah bahawa Pasukan Petugas Khas tidak mempunyai kuasa menyiasatnya dan dapatan diterbitkan melanggar hak perlembagaannya.
“Saman ini tidak sepatutnya dibatalkan,” katanya memberitahu Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan dan ahli Pasukan Petugas Khas, berkata Thomas tidak pernah mendakwa dalam dokumen mahkamah bahawa siasatan pasukan itu sehingga ke tahap “serangan politik”.
“Aduan utamanya adalah Pasukan Petugas Khas tidak ditubuh mengikut undang-undang,” katanya.
Shamsul berkata, tiada apa yang melanggar undang-undang dalam pembentukan pasukan terbabit.
Katanya, Pasukan Petugas Khas hanya memulakan pencarian fakta awal, dan dapatannya tidak terikat dengan kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini secara kerap menubuhkan pasukan petugas, sambil merujuk pasukan sama dibentuk menyiasat insiden tembakan polis terhadap seorang remaja, sebagai contoh.
Pendengaran bersambung.