Ahli politik jangan masuk campur perolehan tentera, kata Anwar

Ahli politik jangan masuk campur perolehan tentera, kata Anwar

Perdana menteri mengeluarkan arahan kepada ketua cabang tentera memutuskan pembelian aset secara profesional tanpa campur tangan ahli politik dan ejen luar.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri perjumpaan bersama anggota tentera udara di Pangkalan Udara Butterworth. (Gambar Bernama)
BUTTERWORTH:
Ahli politik dan ejen luar tidak perlu masuk campur dalam keputusan pembelian ketenteraan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau sudah mengarahkan semua ketua cabang tentera, termasuk tentera laut dan udara bahawa keputusan perolehan diputus secara profesional oleh cabang masing-masing.

“Orang politik jangan campur. Ejen-ejen luar jangan campur. Dan bila diputuskan, kita bincang dengan Kementerian Kewangan dari segi kos yang kita runding direct (langsung) di antara dengan kerajaan-kerajaan berkenaan,” katanya ketika berucap di hadapan anggota di Pangkalan Udara Butterworth.

Anwar berkata, beliau terkejut melihat aset tentera laut dari 1973 dipamer, di LIMA Langkawi, baru-baru ini.

Katanya, walaupun kekuatan tentera udara sedia ada “tidak teruk”, namun cabang itu tidak sampai keupayaan negara jiran.

“Kita bukan bermaksud untuk berperang, tetapi dasar pertahanan negara itu harus. letakkan kesiapsiagaan yang cukup,” katanya.

Anwar berkata, kaedah runding terus dilakukan kerajaan dalam perolehan aset ketenteraan boleh menghalang berlakunya rasuah menerusi komisen.

Beliau mengimbau ada beberapa pihak mengaut 100 juta euro dalam bentuk komisen bagi perolehan kapal selam.

“Saya perdana menteri kuasa di tangan saya, saya menteri kewangan tapi apa yang saya tahu tentang jet pejuang? Jadi, lebih baik saya serah kepada pakar di situ yang sudah faham bagaimana…Sudah boleh banding kekuatan kita dengan semua jenis jet,” katanya.

Pada LIMA bulan lalu, kerajaan menandatangani kontrak membeli 18 pesawat tempur ringan FA-50 buatan Korea Selatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.