Bantu perniagaan kecil tangani kenaikan OPR, PM seru BNM

Bantu perniagaan kecil tangani kenaikan OPR, PM seru BNM

Anwar Ibrahim mencadangkan diberikan moratorium pinjaman sebagai pendekatan boleh diambil.

Bank Negara Malaysia diseru mengambil langkah membantu perniagaan kecil susulan kenaikan kadar faedah.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru Bank Negara Malaysia menyediakan langkah mengurangkan impak dirasai perniagaan kecil kesan tindakan bank pusat itu menaikkan kadar faedah ke atas pinjaman antara bank.

Anwar berkata, peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) mesti disusuli pendekatan mengurangkan beban dihadapi peminjam kecil, seperti moratorium pinjaman.

“Apabila OPR meningkat, ia tidak mengganggu syarikat besar, tetapi syarikat kecil tidak sepatutnya dibeban dengan kadar tinggi faedah,” katanya ketika menghadiri program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan, di Bachok.

Anwar yang juga menteri kewangan, sebelum ini dilaporkan berkata OPR akan diselaraskan secara berperingkat bagi memastikan ia kekal stabil dan sejajar keadaan ekonomi.

Awal bulan ini, Anwar ketika memberitahu Dewan Rakyat, berkata keputusan kerajaan meningkatkan OPR akan membantu menyokong ringgit, yang mana merekodkan penurunan berbanding dolar Singapura, pada Mei.

‘Peluang kedua’ calon gagal hadir SPM

Anwar juga memberitahu pelajar bahawa beliau telah mengarahkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengesan calon yang tidak hadir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menawarkan kepada mereka “peluang kedua”.

Katanya, kerajaan akan mempertimbang menyediakan peluang kepada mereka kembali menduduki peperiksaan tersebut atau membantu mereka menyertai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kita tidak boleh meminggirkan mereka (calon tidak menduduki SPM) kerana majoriti adalah miskin,” katanya.

Dilaporkan, sebelum ini 14,858 kohort SPM 2022 tidak menduduki peperiksaan itu. Sejumlah 388,832 calon berdaftar bagi SPM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.