
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu berkata, bagi peringkat awal, proses yang membabitkan bahagian kanak-kanak itu ketika ini diurus serta digerakkan bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bawah JKM, (sudah) ada bahagian kanak-kanak, maka Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak akan dibangunkan daripada unit sedia ada bawah JKM sebelum dijadikan rasmi pada penghujung 2025,” katanya.
“Ia akan menjadi agensi ketujuh bawah KPWKM. Buat masa sekarang, kita menumpukan kepada proses mengemas kini selain melihat sekiranya ada keperluan untuk meminda Akta Kanak-Kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ibu & Hari Bapa peringkat Negeri Kelantan 2023 di Institut Pengurusan Peladang Panji, yang turut dihadiri Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Mumtaz Md Nawi.
Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata, kewujudan jabatan itu penting memandangkan kes pengabaian, penderaan dan pelbagai isu membabitkan kanak-kanak semakin berleluasa.
Katanya, peranan JKM sekarang lebih kepada urusan kebajikan dan bantuan bagi 10 kumpulan sasar termasuk wanita, keluarga, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak.
“Namun apabila Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak ditubuhkan kelak, ia akan menfokus kepada kanak-kanak. Segala urusan membabitkan kanak-kanak akan diletak bawah ketua pengarahnya, bukan lagi bawah ketua pengarah JKM,” katanya.
Beliau juga berkata, untuk menguruskan jabatan berkenaan, pihaknya akan menggunakan kakitangan JKM sedia ada, walaupun kementerian dibenarkan mengambil pekerja kontrak.
“Selagi tidak berdiri sendiri, kita akan guna kakitangan sedia ada. Malah kita juga dibenarkan melantik kakitangan kontrak dengan peruntukan seramai 224 orang setahun mengikut keperluan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aiman Athirah berkata, KPWKM memperuntukkan sebanyak RM202.8 juta untuk kebajikan rakyat Kelantan tahun ini, memberikan manfaat kepada 48,000 penerima menerusi JKM.
“Sebanyak 80% disalurkan secara terus sebagai bantuan kewangan merangkumi warga emas, OKU, OKU terlantar, OKU tidak bekerja, ibu tunggal dan sebagainya,” katanya.
“Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan hampir RM24 juta tahun ini kepada JKM untuk melengkapi keperluan bagi menyantuni kebajikan masyarakat di Kelantan.”
Beliau berkata, kementerian itu turut memperuntukkan RM2.38 juta bagi pembinaan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Jalan Dusun Muda.
Ia dijangka siap Ogos depan, berfungsi sebagai pusat agensi pelaksana program serta aktiviti perancangan keluarga, tambahnya.
“Setakat ini, sebanyak empat LPPKN telah siap dibina di seluruh negara, iaitu di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Melaka serta Selangor,” katanya.
“Kementerian menyasarkan untuk mewujudkan pusat ini di setiap negeri kerana merasakan ia memberi manfaat, terutama bagi golongan berpendapatan rendah untuk mendapat akses kepada kemudahan ditawarkan LPPKN.”