
Dalam kenyataan SKMM berkata, Meta juga tidak bekerjasama sepenuhnya untuk menurunkan kandungan memudaratkan yang mengandungi elemen 3R (bangsa, agama dan raja), penyamaran , judi dalam talian serta iklan penipuan.
“Maklum balas pihak Meta yang lembab dan kurang memuaskan, tidak setimpal dengan keseriusan perkara berkenaan dan ini mengundang kebimbangan dan penelitian awam.
“Memandangkan tahap kerjasama diberikan oleh Meta adalah tidak memadai, pihak SKMM tidak teragak-agak untuk mengambil langkah definitif atau tindakan perundangan terhadap Meta sebagai langkah untuk memastikan pengguna dilindungi dan mempunyai persekitaran selamat di alam digital,” menurut kenyataan itu.
Bulan lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pihaknya akan berjumpa dengan pengurusan platform Meta bagi membincangkan isu penipuan dalam talian yang dilihat masih berleluasa sehingga kini.
Mengulas lanjut, SKMM berkata tindakan undang-undang itu perlu dalam menyemai kebertanggungjawaban keselamatan siber selain memperkasa perlindungan pengguna terhadap kandungan memudaratkan, termasuk juga aktiviti penipuan.
“SKMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan menyalahguna platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian secara berterusan untuk aktiviti siber berniat jahat dan phishing.
“Ataupun sebarang kandungan menggangu-gugat kestabilan kaum, keharmonian sosial serta penghinaan terhadap institusi diraja.”