
Pengerusi Moey Yoke Lai berkata dana yang ditubuhkan pada 2009 itu mengalu-alukan permohonan biasiswa daripada lepasan SPM dan STPM yang memerlukan bantuan kewangan untuk mengakses pendidikan tertiari berkualiti.
“Bagi pelajar yang dilanda kemiskinan, pendidikan kunci untuk membebaskan diri daripada kitaran kemiskinan. Namun, ramai daripada mereka mungkin tidak mempunyai peluang atau akses untuk melanjutkan pelajaran disebabkan kekangan kewangan,” katanya dalam kenyataan.
“Di sinilah Dana Pendidikan Elena Cooke menawarkan bantuan yang berbeza. Kami membuka peluang kepada mereka untuk memanfaatkan dana biasiswa yang akan memperkasakan mereka untuk memupuk potensi pendidikan mereka tanpa rasa bimbang tentang kewangan.”
Selepas 14 tahun ditubuhkan, Dana Pendidikan Elena Cooke telah membantu 56 pelajar mencapai impian dan berjaya dalam kehidupan masing-masing.
Salah seorangnya, Goh Sing Joy, pemegang ijazah sarjana muda teknologi maklumat dengan kepujian dari Kolej Tunku Abdul Rahman yang kini bekerja di sebuah syarikat perkhidmatan perancangan sumber perusahaan.
Beliau yang menjaga ibunya yang menghidap masalah kesihatan berkata dia tidak mungkin dapat meneruskan pengajian ke menara gading tanpa dana tajaan Dana Pendidikan Elena Cook, yang telah mengubah kehidupan keluarganya.
Dana Pendidikan Elena Cooke mencari lebih ramai generasi muda seperti Goh, yang mana permohonan biasiswa dibuka kepada semua calon yang layak.
“Tarikh tutup permohonan adalah dua minggu selepas keputusan SPM atau STPM 2022 diumumkan,” kata Moey.
Menurut Moey, biasiswa itu mendapat sokongan daripada individu korporat dan institusi pengajian tinggi swasta seperti Kolej Sunway dan Universiti HELP.
Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh dimuat turun menerusi lawan sesawang BBGS ECEF Scholarship 2023.