Dakwaan mangsa rogol tak dibantu segera, Nancy akan tentu sah SOP pusat krisis

Dakwaan mangsa rogol tak dibantu segera, Nancy akan tentu sah SOP pusat krisis

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata, beliau perlu menentusahkan SOP terlebih dahulu kerana ia bukan bawah bidang kuasanya.

Nancy Shukri menegaskan, SOP di OSCC harus mengutamakan kesejahteraan mangsa, dengan mengambil kira trauma yang mereka alami. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata, beliau akan meneliti prosedur di Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) selepas seorang mangsa rogol dikatakan tidak diberi bantuan segera.

Dalam responsnya terhadap ciapan yang tular di Twitter, Nancy berkata, beliau perlu menentusahkan SOP di OSCC, yang terletak di bilik kecemasan semua hospital awam, terlebih dahulu kerana ia bukan bawah bidang kuasanya.

“Saya ingat polis patut ada juga di OSCC. Memandangkan ia bukan bawah bidang kuasa kementerian, saya perlu sahkan semula prosedurnya,” katanya kepada FMT.

Di Twitter, beliau menegaskan bahawa SOP harus mengutamakan kesejahteraan mangsa, dengan mengambil kira trauma yang mereka alami.

Terdahulu, pengguna Twitter @serensespagetthi mendakwa beliau telah meminta rakannya membawa seorang mangsa rogol ke OSCC di hospital awam terdekat, atas nasihat NGO, Women’s Aid Organisation (WAO).

Ini bagi memastikan mangsa dapat dibantu dan bahan bukti yang diperlukan dapat dikumpul secepat mungkin, katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa mangsa tidak dibenarkan masuk ke OSSC sebelum membuat laporan polis, bercanggah dengan maklumat yang diberikan oleh WAO.

“Saya terpaksa bertekak dengan kakitangan hospital dalam telefon, agar mangsa dibenarkan berjumpa doktor untuk diperiksa.

“Masa akan terbazir dan bahan bukti mungkin hilang jika mangsa tidak dibenarkan masuk ke OSCC,” katanya dalam ciapan.

Mangsa akhirnya dibenarkan berjumpa doktor, namun masih tidak diperiksa, dakwanya.

“Dia hanya diberi ubat perancang kecemasan dan antibiotik untuk penyakit hubungan jenis (STD) yang mungkin terjangkit.”

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memberitahu FMT beliau akan menyiasat perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.