Nik Zawawi mohon maaf, akui kurang cermat dalam ceramah sentuh sahabat Nabi

Nik Zawawi mohon maaf, akui kurang cermat dalam ceramah sentuh sahabat Nabi

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu menegaskan ia tidak mewakili pendirian PAS.

Nik Muhammad Zawawi Salleh berdepan kontroversi selepas sedutan ceramahnya di Kuala Terengganu tular kerana didakwa membuat kenyataan tidak tepat mengenai latar kehidupan beberapa sahabat Nabi sebelum Islam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh memohon maaf susulan kontroversi berkait kenyataannya mengenai latar kehidupan beberapa sahabat Nabi sebelum kedatangan Islam.

Nik Zawawi dalam kenyataan berkata beliau mengakui ‘kurang cermat’ dalam mengolah maklumat dan penyampaian ketika memberikan kenyataan itu.

“Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan itu,” katanya yang menegaskan dirinya sama sekali tidak berniat menjatuhkan maruah atau menghina insan terpilih yang dimuliakan Allah.

Katanya, tujuan asal kenyataannya hanyalah untuk menjelaskan kehebatan risalah Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan lebih mulia dan berperadaban.

“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian PAS mahupun kepimpinannya,” kata wakil rakyat PAS berkenaan.

Kontroversi itu sebelum ini tercetus selepas sedutan ceramah Nik Zawawi di Kuala Terengganu tular, apabila beliau dikatakan membuat kenyataan tidak tepat mengenai latar kehidupan beberapa sahabat Nabi sebelum Islam.

Susulan itu, Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegur Nik Zawawi dan mengakui ada beberapa kesilapan fakta dalam ceramah berkenaan.

Ketua Penerangannya Mohd Nor Hamzah berkata teguran serta peringatan secara dalaman sudah diberikan kepada Nik Zawawi supaya lebih berhati-hati ketika menyampaikan fakta sejarah Islam.

DUPP turut menegaskan sahabat Rasulullah SAW wajib dimuliakan dan sebarang huraian mengenai sejarah serta keperibadian mereka perlu disampaikan secara tepat, beradab dan berpandukan disiplin ilmu sahih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.