
Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, berkata semua suspek berusia antara 17 tahun hingga 40-an dan siasatan awal mendapati mereka dipercayai bergiat aktif dengan kegiatan pengedaran itu, sejak awal tahun ini.
“Hubung kait kegiatan antara lima lelaki ini masih kita siasat, pada masa ini kita percaya dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan di sekitar negeri ini dan ke luar negara. Ada lagi suspek yang kita buru tetapi masih dalam siasatan.
“Kita percaya mereka ini ‘orang tengah’ yang mana mereka membeli dadah daripada satu pihak sebelum menjualnya kepada orang lain,” katanya pada sidang media di IPK Sabah.
Beliau berkata, tangkapan pertama ialah pada 3 Julai melibatkan seorang lelaki tempatan di Kilometer 68 Jalan Sandakan-Lahad Datu, apabila pemeriksaan terhadap keretanya menemukan sebuah kotak mengandungi 10 bungkus dipercayai dadah jenis syabu dengan berat 10.05kg.
Jauteh berkata, pada hari sama seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing ditahan di Semporna bersama dadah syabu seberat 2.03kg.
Katanya, dalam tangkapan berasingan keesokkan harinya, polis menahan seorang lelaki warga asing bersama 1.07kg syabu di Inanam, sementara seorang lelaki warga asing ditahan bersama 1.05kg dadah jenis sama di Tuaran pada hari sama.
“Dianggarkan setiap 10kg syabu ini mampu membekalkan kepada 50,000 penagih dadah untuk tempoh sehari, jadi kita harap masyarakat juga mampu memainkan peranan untuk membantu polis dalam kita bersama membanteras penyalahgunaan dadah ini,” katanya.
Beliau berkata, turut dirampas wang tunai RM164,000; barang kemas bernilai RM172,000; barangan eksklusif membabitkan beg dan jam tangan bernilai RM90,000; serta 11 kenderaan bernilai RM790,000 dipercayai hasil daripada kegiatan itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.