
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki tidak mahu mana-mana pihak membuat spekulasi sedangkan siasatan masih belum selesai.
“Siasatan baru saja dijalankan dalam tempoh lima hingga enam hari, jadi munasabah kah enam hari kita boleh selesaikan siasatan? Berhati-hatilah dalam membuat kenyataan walaupun merujuk sumber,” kata Ketua Pesuruhjaya Azam Baki lapor Berita Harian.
Azam meminta media tidak melaporkan “andaian” berhubung siasatan SPRM tanpa mendapatkan pengesahan.
“Selama ini media tanya saya tetapi tiba-tiba tidak tahu ‘budak’ mana yang media tanya,” katanya. “Jangan pandai-pandai kerana seolah-olah SPRM sudah tarik ‘handbrake’.”
Azam memaklumkan SPRM sudah memanggil syarikat yang dilantik untuk mengurus warga asing yang dikenakan Notis Penolakan Masuk untuk membantu siasatan, yang dijangka dapat dilengkapkan dalam tempoh sebulan.
Jelasnya, siasatan merangkumi elemen rasuah yang perlu dibuktikan, tatacara undang-undang yang perlu dipatuhi pihak berkuasa, dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan di KLIA.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya Tiong King Sing berkata “peristiwa yang memalukan negara” telah terbongkar, susulan laporan mengenai kekecohan di KLIA membabitkan warga China ditahan di balai ketibaan.
Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang “kronik” di pintu masuk negara.