
Ketua Gerak Amal Bersama (GAB) Muhamad Zuhud Ulia berkata perbelanjaan daripada simpanan ahli dan sumbangan itu membabitkan pembelian besi dan cat selain kelengkapan seperti televisyen, tempat duduk juruterbang, penyaman udara dan set generator.
Tinjauan FMT ke kampung di bawah DUN Kupang itu mendapati kehadiran pesawat terbabit sejak Jumaat lalu membantu menarik kunjungan ramai ke perkampungan berkenaan sekali gus membuka rezeki kepada penduduk berniaga makanan serta minuman.
Tiada bayaran dikenakan untuk pengunjung ingin bergambar dan memasuki ke dalam ruangan ‘pesawat’ boleh memuatkan 10 orang itu, namun dialu-alukan memberi sumbangan untuk kegunaan NGO terbabit yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Zuhud berkata seramai enam orang membina replika itu yang mengambil masa selama tujuh bulan untuk disiapkan dan reka bentuknya dibuat berdasarkan pemerhatian di Google dan YouTube.
“Kami tak tahu macam mana bentuk helikopter Nuri sebab tak pernah naik, jadi kami tengok di Google dan YouTube,” katanya yang berusia 32 tahun.
Katanya, sejak dibuka kepada kunjungan, kawasan itu menerima kehadiran 300 ke 400 pengunjung sehari, bukan sahaja dari dalam Kedah tetapi negeri lain seperti Terengganu, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan.
“Dapat juga bantu orang kampung yang berniaga air balang, masakan panas dan bihun sup utara,” katanya.

Sementara itu, peniaga minuman yang hanya mahu dikenali Zul berkata dia dapat meraih untung bersih sekitar RM300 hingga RM400 sehari menerusi kehadiran ramai pengunjung luar ke kampung itu.
Bagi Mohamad Azhar Harun yang datang dari Pulau Pinang, beliau teruja dengan hasil tangan anak muda yang kreatif itu.
Di Kampung Charuk Kudung terletak di bawah DUN Belantik pula, penduduknya membina replika kapal layar sepanjang 70 kaki menggunakan kayu, buluh dan batang pinang
“Kebanyakannya ambil dari hutan dan anggaran kos bina sekitar RM1,500,” kata seorang penduduk Abdul Fatah Abu Seman.