
Muhyiddin berkata, ketika menggalas tugas sebagai menteri dalam negeri, beliau mendakwa menerima tekanan daripada DAP untuk tidak mengemukakan rayuan.
Menurut beliau, semasa menjadi menteri dalam negeri di bawah kerajaan PH, beliau menggesa mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai hak seorang wanita Sarawak menggunakan kalimah “Allah”.
“Di sebalik Anwar tidak lain dan tidak bukan anggota parti DAP, yang saya tahu waktu saya menjadi menteri pun didesak untuk saya jangan merayu,” katanya dalam ceramah PN di Kapar.
Pada 23 Mei lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tindakan kerajaan menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah “Allah” bertujuan untuk mengelak percanggahan dengan ketetapan Majlis Raja-raja.
Beliau berkata, pihaknya merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong yang berpandangan semua keputusan harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-raja.
Agong turut memperkenan kes dirujuk ke Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, bagi memperkemas peraturan bahawa kalimah “Allah” tidak boleh dipakai oleh orang bukan Islam di Tanah Melayu dan dibolehkan di Sabah dan Sarawak dengan syarat tertentu.
Beliau menambah, penarikan rayuan tersebut memberi ruang kepada kerajaan untuk menambah baik ketetapan kalimah itu selaras pandangan dan nasihat peguam negara.
Sementara itu, Muhyiddin turut memaklumkan PN akan mengumumkan manifesto pilihan raya negeri dalam beberapa hari lagi.
Beliau berkata, manifesto PN akan menawarkan pelbagai bantuan untuk rakyat terutama berhubung kos sara hidup termasuk isu lonjakan harga barang, dan inflasi.