
Anwar turut meminta pemimpin MIC memberinya tempoh setahun bagi menangani isu membelenggu rakyat, termasuk kemiskinan melibatkan masyarakat India.
“Saya mesti ulang, kamu telah tunjuk keyakinan dan rasa hormat kepada saya, dan saya amat menghargainya.
“Menjadi tanggungjawab saya sepenuhnya untuk membalas dan menghormati etnik India termasuk MIC yang mewakili mereka.
“Sebagaimana saya percaya (presiden MIC SA) Vigneswaran, kamu perlu percaya kepada saya,” katanya kepada pemimpin dan ahli MIC di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Anwar berkata Malaysia tidak memerlukan dasar pembasmian kemiskinan yang disasarkan kepada orang Melayu atau India sebaliknya “dasar Malaysia”.
“Sahabat dan pemimpin MIC yang dikasihi, sila terima dasar baharu ini. Dasar saya adalah dasar untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Katanya, penting untuk semua pihak dalam kerajaan bekerjasama memperjuangkan kepentingan rakyat, sambil menambah Malaysia mempunyai masa depan cerah.
Anwar mengakui tidak ramai pemimpin sepertinya yang mampu berhadapan dengan rakyat serta berhujah sedemikian, dan memaklumkan beliau tidak dapat bertolak ansur dengan pihak sengaja membangkitkan isu agama dan kaum.
“Kalau saya pimpin, selaku perdana menteri, saya tidak akan bertanggungjawab dalam memenuhi tugas saya kalau saya tidak menjaga kepentingan semua kaum di negara ini,” katanya.