
Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, keputusan gabungan itu tidak memilih calon tertentu mungkin akan memakan diri.
“Parti itu mungkin cuba mengelak pemberontakan dari kem Azmin,” katanya kepada FMT.
“Sebab itu PN bergantung kepada Azmin, Dr Afif Bahardin dan Rina Harun (antara lain) untuk mencapai kemenangan (buat mereka), walaupun orang dalam PN menganggap mereka calon tidak sesuai.”
Awang Azman berkata, calon-calon ini mungkin berada dalam kedudukan lebih baik untuk bertanding disebabkan pengalaman dan sumber kewangan mereka, berbanding seseorang yang kurang mantap.
Pada 1 Ogos, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman mempersoalkan mengapa parti itu mencalonkan mereka yang tewas pada PRU15 sebagai calon PRN.
Ini termasuk Azmin Ali yang bertanding di Hulu Kelang, Rina Harun (Batu Tiga), Sasha Lyna Abdul Latif (Bukit Antarabangsa) dan Dr Afif Bahardin (Taman Medan) yang semua disifatkannya sebagai “lemah” kerana ditolak oleh rakyat.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, sokongan Melayu amat penting untuk PN jika mahu merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).
“Pemilihan calon yang tepat amat penting di sini kerana pengundi Melayu mudah terpengaruh dengan isu sensitif. Jadi ia akan memainkan peranan, terutamanya apabila pengundi Melayu adalah majoriti di kawasan pilihan raya.”
Katanya, secara tradisi, pengundi Melayu di Selangor utara tidak menyokong PN dan salah memilih calon boleh meredam peluang gabungan itu untuk merampas negeri itu daripada PH.
“Di sinilah pengundi Melayu. Mereka adalah majoriti. Jadi sedikit rasa tidak puas hati terhadap pemilihan calon terutama calon yang dianggap bukan ahli Bersatu ‘asal’ boleh menimbulkan masalah,” kata Azmi.