Sokong PH-BN di Selangor demi kelangsungan ekonomi, kata Salleh

Sokong PH-BN di Selangor demi kelangsungan ekonomi, kata Salleh

Bekas ketua menteri Sabah berkata memilih orang yang tepat menjadi nakhoda penting untuk ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak menyeru pengundi Selangor memilih PH-BN mementingkan kesederhanaan berbanding politik ‘ekstrem’ PN, menjelang PRN 12 Ogos. (Gambar Bernama)
HULU LANGAT:
Bekas ketua menteri Sabah menyeru pengundi Selangor menyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional pada PRN Sabtu ini, sambil menyatakan peri penting negeri itu “kekal dalam haluan sederhana”.

Salleh Said Keruak berkata, penting juga demi memastikan kerajaan Selangor dengan statusnya sebagai negeri terkaya, sejajar bersama Putrajaya.

“Selangor merupakan gerbang utama ekonomi negara. Jika anda mahu kekal dalam keadaan itu dan manfaat daripadanya, anda perlu kepada orang yang tepat menjadi nakhoda.

“Tiada sesiapapun yang mempunyai rekod lebih baik daripada BN dan PH, termasuk di negeri itu mahupun di peringkat nasional” kata pemimpin BN Sabah kepada FMT ketika berkempen untuk calon BN Dusun Tua, Johan Aziz pada Rabu.

Selangor, yang diperintah BN dan PH sejak merdeka, menyumbang RM364.27 bilion kepada kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK). Jumlah itu hampir suku kepada jumlah keseluruhan KDNK.

Salleh berkata, penting bagi Selangaor diterajui kerajaan terbaik melangkaui kemampuan menjana ekonomi.

“Paling penting, kesederhanaan dan meraikan kepelbagaian mestilah tersemat dalam sanubari mana-mana kerajaan.

“Selangor merupakan rumah kepada pelbagai kaum, agama, dan budaya. Ia memerlukan kerajaan bukan sahaja memahami dinamik itu, malah mendokong nilai berkenaan melepasi kepentingan politik.”

Beliau berkata, rakyat Selangor dan ekonominya akan ketinggalan jika negeri tersebut diperintah parti “ekstrem”, yang tidak berkongsi nilai dan aspirasi kerajaan pusat untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat.

“Jangan biarkan politik ekstrem memusnahkan kerja keras pemimpin Selangor sejak berdekad.

“Demi kelangsungan kesejahteraan Selangor, saya menyeru semua pengundi Selangor memilih kesederhanaan dan mengundi PH-BN.”

Awal hari ini, dalam ucapannya, Salleh berkata penting untuk negara menumpukan kepada ekonomi susulan kesan pandemik Covid-19 selama tiga tahun.

Justeru, beliau berkata penting bagi semua negeri mengekal hubungan erat dengan kerajaan pusat.

“Selangor akan mendapat manfaat kembali diperintah PH dan BN, yang mana merupakan gabungan kuat dan stabil.

“BN sendiri mampu menawarkan banyak lagi untuk membawa kestabilan kepada kerajaan Selangor,” kata Salleh.

Beliau juga menggesa BN dan PH mengenepikan sebarang perbezaan bagi memastikan kemenangan kepada gabungan perpaduan, sambil menyatakan rakyat jemu dengan politiking tidak berkesudahan.

Salleh juga menyeru PN menghentikan cubaan menggugat kestabilan demi menjatuhkan kerajaan pusat.

“Sabah dan Sarawak sudah menyatakan komitmen menyokong kerajaan pusat dengan 56 kerusi. Jadi, janganlah menggugat kestabilan negara.

“Banyak lagi kerja perlu dilakukan. Jika PN mahu mengambil alih Putrajaya, tunggulah PRU akan datang dan kita sama masuk gelanggang,” katanya.

Selangor akan mengadakan PRN 12 Ogos, serentak Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.