
Tinjauan turut mendapati gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan pentadbiran di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, namun terpaksa melupakan tiga negeri ditadbir PAS – Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Menurut Ilham Centre, sokongan bukan Melayu yang menjadi pendeposit tetap PH tidak akan berganjak susulan kempen agresif PN di Selangor, yang menakutkan segmen pengundi berkenaan.
“PN kelihatan tepu mencari strategi bagaimana ingin menarik sokongan pengundi bukan Melayu.
“Sekiranya keadaan ini kekal, PN terpaksa melupakan undi Cina dan India sebaliknya terpaksa menumpukan kebergantungan kepada undi Melayu,” menurut kajian itu, yang menyifatkan ruang PN menakluk Darul Ehsan hanya terhad di kerusi anjung utara Selangor.
Kajian itu juga mendapati, gabungan PH-BN di Negeri Sembilan sukar dicabar apabila kempen blok lawan, Bersatu dan PAS tidak sekuat dan tersusun berbanding lima negeri lain selain faktor kegagalan menampilkan ‘poster boy’ untuk jawatan menteri besar.
Di Pulau Pinang, Ilham Centre berkata gabungan blok PH-BN berada jauh di hadapan dengan PN hanya berpeluang di kerusi majoriti Melayu iaitu DUN Penaga, Pinang Tunggal, Permatang Berangan dan Sungai Dua.
Sementara itu, di Kelantan dan Terengganu, PAS selesa apabila pengundi menyifatkan gabungan PH-BN tidak serius mengambil alih kerajaan kerana mempertaruhkan calon kurang meyakinkan dan tidak menampilkan isu yang kuat.
Di Kedah pula, faktor Menteri Besar Sanusi Nor sudah memadai menyekat hasrat PH-BN yang turut berdepan risiko kalah di semua 36 DUN sekiranya peratusan undi kaum Cina rendah selain kesilapan strategi kempen.
Pengundi muda kekal bersama PN
Kajian itu turut mendapati sebahagian besar daripada 4.9 juta pengundi muda di enam negeri dijangka kekal bersama PN meskipun kerajaan perpaduan melaksanakan pelbagai program seperti Temu Anwar, Jelajah Kampus dan pemberian e-dompet belia RM 200.
Ilham Centre juga mendapati suasana kempen PRN juga agak hambar dan sejuk, kecuali di Selangor dan Kedah, yang menurutnya dapat dilihat menerusi sambutan ceramah politik setempat, perang bendera dan kempen fizikal.
“‘Perang’ sebenar lebih tertumpu di media sosial. Sambutan terhadap ceramah setempat, meraih undi menerima sambutan agak hambar dari pengundi,” katanya yang turut menjangkakan ramai perantau dari Kelantan dan Terengganu tidak pulang mengundi atas faktor kemenangan selesa pada PRU15.
Kajian Ilham Centre itu membabitkan kaji selidik 2,304 responden dari 29 Jul sehingga Selasa lalu, lima hari sebelum pengundian esok.