Kes Zahid: Saya tak campur, kata Anwar

Kes Zahid: Saya tak campur, kata Anwar

Perdana menteri berkata beliau tidak mencampuri keputusan peguam negara dalam kes Zahid Hamidi.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mahu Anwar Ibrahim mengambil tanggungjawab sepenuhnya selepas mahkamah melepas tanpa membebaskan Zahid Hamidi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mencampuri keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang dana Yayasan Akalbudi.

“Ini keputusan peguam negara, saya tidak campur,” kata perdana menteri menurut Bernama.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mahu Anwar mengambil tanggungjawab sepenuhnya selepas mahkamah melepas tanpa membebaskan presiden Umno itu.

Dalam kenyataan malam tadi, Jabatan Peguam Negara menjelaskan permohonannya untuk melepas tanpa membebaskan Zahid dibuat berdasarkan alasan dikemukakan dan diterima mahkamah.

Jabatan itu memaklumkan Hakim Collin Lawrence Sequerah, yang membuat keputusan berkenaan sudah menyatakan alasan dikemuka pihak pendakwaan adalah kukuh.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.

Sequerah dalam keputusannya memaklumkan pihak pendakwaan memberikan beberapa alasan termasuk keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kandungan buku oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Keputusan itu menimbulkan kritikan pelbagai pihak yang mahu penjelasan terperinci diberikan peguam negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.