PM digesa dedah projek kerajaan belum siap

PM digesa dedah projek kerajaan belum siap

Lim Lip Eng (PH-Kepong) berkata, langkah ini bagi memastikan projek kerajaan berjalan dengan baik dan dana awam digunakan dengan cekap.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap agensi dan pegawai kerajaan yang bertanggungjawab atas projek tergendala bawah RMK12.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mesti mendedahkan senarai projek kerajaan bernilai RM10 juta atau lebih yang belum mencapai kadar kemajuan sekurang-kurangnya 30%, gesa seorang Ahli Parlimen.

Bercakap di Dewan Rakyat, Lim Lip Eng (PH-Kepong) berkata, ini akan memastikan projek kerajaan berjalan dengan baik dan dana awam digunakan dengan cekap.

“Dengan adanya senarai projek-projek ini, kita dapat mengenal pasti projek yang memerlukan perhatian khusus dan tindakan untuk memastikan (projek-projek tersebut) dapat disiapkan dengan berkesan,” katanya semasa membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Ahli Parlimen DAP itu turut menggesa Putrajaya mengambil tindakan tatatertib, mengenakan denda, atau mengambil tindakan undang-undang lain yang sesuai terhadap agensi dan pegawai kerajaan yang bertanggungjawab atas projek tergendala bawah RMK12.

Langkah ini bagi menjamin akauntabiliti dan ketelusan diutamakan dalam projek kerajaan, katanya.

Lim berkata, ini akan menjadi amaran kepada mereka yang bertanggungjawab melaksanakan projek-projek ini agar serius dalam melaksanakan tugas.

“Selain itu, langkah-langkah ini juga akan membantu melindungi kepentingan negara dan rakyat dan memastikan penggunaan dana kewangan negara dengan lebih berkesan,” tambahnya.

Semalam, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan membatalkan projek kerajaan yang telah diluluskan beberapa tahun lepas tetapi masih belum dimulakan.

Projek-projek sebegitu termasuk yang telah diluluskan bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Jelasnya, pembatalan itu dibuat bagi memberi laluan kepada projek yang lebih diperlukan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.